Ibu bapa mana yang tidak mahu melihat anaknya membesar dengan sempurna dan diberikan didikan yang terbaik. Begitulah juga Lana Nodin yang mahu memastikan anaknya, Gia Quinn McKienzie akan mendapat didikan agama yang secukupnya.
Lana menyatakan yang mana dia mahu Gia dihantar ke sekolah agama pabila dia besar kelak demi mendapat bimbingan ajaran Islam yang sewajarnya.
“Sebagai ibu, saya mahu anak saya mempunyai asas pendidikan agama. Selain ke sekolah biasa, saya akan pastikan Gia ke sekolah agama bagi mendapatkan pendidikan formal ajaran Islam. Pastinya setiap ibu bapa mahukan anak mereka membesar menjadi insan yang berguna kepada agama dan bangsa,” katanya kepada BH Online.
Menurutnya lagi, puteri sulungnya ini mudah sebati dengan gaya hidup yang mereka sekeluarga lalui dek kerana suami Lana iaitu David McKienzie atau nama Islamnya, Mohd Daud McKienzie merupakan seorang pemain dan jurulatih bola tampar yang perlu berulang-alik antara Malaysia, Amerika Syarikat dan negara-negara lain.
Tambahnya lagi, Gia seorang anak yang lebih selesa berada di tempat bercuaca sejuk daripada panas. Akuinya, Lana dan suami sememangnya tidak boleh bertahan di dalam kesejukan penghawa dingin tetapi tidak bagi Gia yang mana lebih selesa dengan tahap kesejukan itu.