Setelah lapan tahun bergelar ibu tunggal kepada Putra Rayqal, akhirnya Nora Danish dan Nedim Nazri disatukan dengan dua kali lafaz.
Kira-kira jam 8.37malam tadi, Nora dan Nedim telah dinikahkan di hadapan 200 orang ahli keluarga dan teman rapat di sebuah majlis akad nikah yang serba sederhana secara tertutup di Seputeh.
Nora tampil dengan busana anggun rekaan jenamanya sendiri iaitu Owl By ND serta ditata rias oleh jurusolek terkenal, Khir Khalid.
Nora bersyukur kerana akhirnya impiannya selama ini menjadi kenyataan. Dalam masa yang sama, Nora berharap supaya semua peminatnya mendoakan kebahagiaan dia dan suami.
“Penyatuan ini umpama impian yang menjadi nyata. Sudah lama saya tunggu detik untuk disatukan dengan belahan jiwa saya. Diharap semua dapat mendoakan kebahagiaan saya dan suami,” kata Nora kepada BH Online.
Nora dan Nedim masing-masing pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini, namun ia gagal dan disebabkan itu, pasangan ini memilih untuk mengadakan majlis pernikahan mereka secara bersederhana sahaja.
“Tidak semestinya majlis sederhana itu kurang meriah. Kami memilih cara ini juga kerana ia lebih bersifat peribadi dan intim,” katanya.
Pada masa yang sama, Nora turut memaklumkan yang mana dia tidak menolak jika dikurniakan rezeki anak dengan segera. Baginya, ia pasti membuatkan anak lelakinya, Rayqal sangat gembira dan teruja kerana dia sudah lama mengimpikan untuk mempunyai seorang adik.
“Dapat adik perempuan pun sudah memadai baginya. Maklumlah, di rumah, dialah satu-satunya budak kecil. Jadi, dia memang selalu suruh saya dapatkan adik untuknya. Paling lucu, dia meminta saya makan banyak supaya perut boleh membesar. Baginya, kalau berbadan besar itu bererti ada bayi dalam perut. Dalam bab ini, kalau saya melayan keletah dan perangainya, boleh ketawa sendirian. Sebagai ibu, saya faham perasaannya yang semakin membesar. Keinginan untuk memiliki adik sendiri adalah lumrah,” katanya lagi kepada portal online itu.
Bekas suami kepada Nora Danish iaitu Rizal Ashram Ramli atau lebih dikenali sebagai Jejai turut hadir ke majlis pernikahan tersebut. Jejai turut memuat naik sekeping gambarnya bersama Nedim, Nora dan Rayqal ketika berada di atas pelamin pasangan itu diraikan.
Tulisnya, “Setinggi tahniah buat Ned. Saya sangat gembira buat Ned dan Nora. Saya mendoakan kebahagiaan rumah tangga kalian berpanjangan serta kasih sayang yang mekar dengan lebih lagi setiap hari antara Ned dan Nora. Semoga kekal ke akhir hayat InsyaAllah. Nora, saya mengucapkan setinggi tahniah dan berbangga untuk hari bahagia Nora. Sejujurnya, saya sangat gembira untuk kalian berdua yang sudah berusaha keras untuk perkahwinan ini. Tahniah! Semoga kehidupan rumah tangga kalian akan dilimpahi dengan rasa cinta dan kegembiraan. Saya pasti yang Rayqal dan Dre akan turut teruja dan gembira dengan termeterainya ikatan sah kalian berdua.”
Sebelum ini, Nora pernah berumah tangga bersama Jejai pada Jun 2006 dan kemudian berpisah kira-kira dua tahun selepas itu. Mereka dikurniakan dengan seorang anak iaitu Putra Rayqal. Manakala Nedim juga merupakan seorang bapa tungga selepas perkahwinannya sebelum ini gagal bersama bekas isteri iaitu Nabilah Khan pada tahun 2013.
Tahniah buat Nora Danish dan Nedim Nazri. Semoga selamat melayari bahtera perkahwinan dengan penuh kebahagiaan sehingga ke akhir hayat.