Beyonce memecahkan rekod likes di Instagram pabila memuat naik sekeping gambarnya yang kini sarat hamil dan yang mengujakan lagi, Beyonce mengumumkan yang dia dan suami, Jay Z bakal menimang anak kembar.
Gambar yang dimuat naik oleh Beyonce itu menerima 6.33juta likes hanya dalam masa 8 jam sahaja serta dibanjiri dengan 333,000 komen dari pengikutnya yang sudah mencecah 92.9juta pengikut.
https://www.instagram.com/p/BP-rXUGBPJa/?taken-by=beyonce
Menerusi gambar tersebut, Beyonce menyatakan “Kami ingin berkongsi kegembiraan dan kebahagiaan kami. Kami telah dilimpahkan dengan berkat sebanyak dua kali. Kami sangat bersyukur kerana keluarga kami akan lebih membesar dengan dua orang lagi dan kami berterima kasih ke atas setiap ucapan anda,” tulisnya diakhiri dengan nama keluarga mereka The Carters.
Pasangan popular dunia ini sudah pun mempunyai seorang anak perempuan iaitu Blue Ivy yang baru sahaja genap lima tahun.
Namun pengumuman tersebut tidak menyatakan sebarang tarikh bilakah bayi kembar tersebut akan dilahirkan. Pada tahun 2011, Beyonce mendedahkan berita kehamilannya kepada peminat di anugerah MTV.
Dia membuka tirai MTV pada ketika itu dengan persembahan Love On Top dengan mengumumkan, “Saya mahu anda semua merasai keterujaan dan rasa cinta akan bayi yang membesar di dalam perut saya ini.” Pada ketika itu, kamera terus memandang ke arah Jay Z yang sedang menonton persembahan isterinya itu serta turut kelihatan Kanye West mengucapkan tahniah kepadanya akan berita gembira itu.
Ketika pengakhiran persembahan itu, Beyonce membuka jaketnya dan menunjukkan saiz perutnya yang sudah kelihatan pada ketika itu. Blue Ivy menjadi inspirasi untuk sebuah lagu Beyonce di dalam albumnya dan pernah muncul beberapa kali di dalam Lemonade tahun lalu.
Jay Z juga pernah mendedahkan di mana Beyonce pernah mengalami keguguran sebelum kelahiran Blue Ivy menerusi lirik lagunya di dalam trak Glory.
Bukan hanya Jay Z dan Beyonce yang mempunyai berita gembira mengenai kehamilan, malah Pharrell Williams dan isterinya, Helen Lasichanh juga baru-baru ini menyambut tiga orang anak kembar.