Pasangan popular Korea Selatan, Lee Jong-suk dan IU, dilaporkan telah menamatkan hubungan cinta mereka selepas empat tahun bersama.
Perkara itu disahkan oleh agensi yang mewakili kedua-dua bintang tersebut pada 10 Julai. Menurut wakil mereka, keputusan untuk berpisah dibuat secara baik dan kedua-duanya memilih untuk kekal sebagai rakan serta saling menyokong kerjaya masing-masing.
Lee Jong-suk dan IU mula mengenali antara satu sama lain pada 2012 ketika bergandingan sebagai pengacara program muzik SBS, Inkigayo. Selepas hampir sedekad menjalinkan persahabatan, mereka akhirnya mengesahkan hubungan percintaan pada penghujung 2022.
Laporan media tempatan yang memetik sumber terdekat mendakwa jadual kerja yang semakin padat menyebabkan pasangan itu sukar meluangkan masa bersama, sekali gus menjadi antara faktor yang membawa kepada perpisahan mereka.
Dari segi kerjaya, drama terbaru IU, Perfect Crown, baru sahaja melabuhkan tirai. Penyanyi dan pelakon itu kini memberi tumpuan kepada album baharunya selain bakal mengadakan konsert di Stadium Goyang pada September ini.
Sementara itu, Lee Jong-suk pula sedang bersiap sedia menjelang tayangan siri original Disney+, The Remarried Empress.
Baca: Rancangan Netflix Sepanjang Julai 2026, Tentang Cinta!




