Oleh: Farhana Fuad
Gambar: TPGimages
Baru-baru ini selebriti kegilaan ramai wanita dari Korea Selatan ini telah menyumbangkan RM170,000 kepada golongan yang memerlukan. Secara umumnya, Lee Min Ho mempunyai badan amal miliknya sendiri yang telah ditubuhkan pada beberapa tahun lalu yang bernama PROMIZ.
Biarpun dipandang tinggi atas bakat dan namanya, namun ianya bukan alasan untuk dirinya melupakan orang yang dalam kesusahan. Pelakon kacak ini mendermakan dana tersebut kepada Holt International Children’s Services dan seterusnya diserahkan kepada pusat perlindungan kanak-kanak.
Holt International Children’s Services merupakan satu badan kebajikan yang ditubuhkan pada tahun 1955 dan berkhidmat untuk pengambilan anak angkat dalam membantu anak yatim dan kanak-kanak yang menjadi mangsa perang.
Min Ho sering memberikan kata-kata semangat buat kanak-kanak yang dalam kesusahan tidak kira dari mana usulnya. Ianya satu usaha murni dari Min Ho buat kanak-kanak yang ditimpa kepayahan dalam kehidupan.
PROMIZ merupakan satu badan kebajikan yang ditubuh oleh Min Ho dan ianya bertujuan untuk menjadi satu platform dalam mencari dana yang berjanji untuk mewujudkan dunia yang lebih aman dan saling bantu-membantu.