FOTOGRAFI IKIE / TEKS & PENYELARAS ANIS HANINI / ARAHAN SENI KHAIRANI RAMLI / GROOMING FENDI SANI / PAKAIAN VERSACE, COS & BOTTEGA VENETA / LOKASI TAJAAN BANYAN TREE KUALA LUMPUR
Wajah baru ini mewarnai slot drama major televisyen yang akhirnya berjaya mencuri perhatian ramai sebagai seorang lagi leading hero yang bakal menjadi kegilaan.
keserasian watak Adam Mirza dengan Chempaka Eryna dalam drama bersiri ‘Adam Chempaka’ arahan Idora Abdul Rahman yang bersiaran di televisyen baru-baru ini antara penyumbang utama kejayaan drama ini. Desas-desus perhubungan antara Adam Lee yang memegang watak Adam dengan Sweet Qismina yang melakonkan watak Chempaka turut mencipta pelbagai spekulasi dan andaian. Status teka-teki mereka berakhir pabila mereka akhirnya mengakui bahawa mereka lebih dari sekadar teman biasa. “Saya akui pertama kali bertemu mata dengan Sweet di set penggambaran drama Adam Chempaka, keserasian kami malap.
Saya kenali dia sebagai seorang pelakon yang telah lama menapakkan nama dalam industri ini, bahkan dia juga punyai banyak pengalaman. Ya, saya agak gemuruh pabila mendapat tahu saya bakal digandingkan dengannya, namun saya sentiasa ingatkan diri bahawa pabila bekerja, saya harus lakukan sebaik mungkin,” jelas pelakon berusia 25 tahun ini.
Muhammad Arif Adam atau lebih dikenali sebagai Adam Lee turut berkata, “sebelum anda tanya soalan seterusnya, kami hanya berkenalan lebih rapat selepas selesai penggambaran Adam Chempaka. Titik hubungan kami tidak bermula sebelum mahupun ketika penggambaran. Seperti yang saya katakan tadi, keserasian masih belum ada, hanya di tengah tengah penggambaran kami mula serasi berlakon bersama dan kami cuba langsaikan kerja kami sebaik mungkin.”
Sebagai pelakon yang masih baru lagi melebarkan sayap dalam industri hiburan, nasihat lakonan yang paling bernilai baginya datang daripada Sweet sendiri. “Dia pernah ujarkan pada saya, ‘jangan berlakon’. Kebiasaannya buat pelakon-pelakon baru dalam industri ini, pabila mereka berada di hadapan kamera, mereka terus berkelakuan seperti tidak semula jadi. Pesan Sweet kita perlu let it go dan let it be as natural as possible. Dengan itu, kita akan belajar dan mula memperbaik diri job after job,” jelasnya yang turut digandingkan sekali lagi dengan Sweet menerusi siri ‘Aku Dia Dan Pinky Promise’.
Nama Adam Lee masih baru dalam industri seni tempatan, namun dia mula melibatkan diri dalam industri pada usia 19 tahun selepas ditarik masuk ketika menjadi seorang jurulatih peribadi di sebuah pusat kecergasan. “My first baby adalah sebuah drama 13 episod yang mana ketika itu, saya hanya berlakon sebagai seorang stand in. Body double untuk Aliff Aziz kerana ramai yang mengatakan bahawa dari belakang, kami tampak sama. Pada masa yang sama, saya turut memegang watak kecil dalam drama tersebut. Saya akui pada mulanya saya memang tidak pandai berlakon namun lama kelamaan saya mula jatuh hati dengan kerjaya ini,” tambahnya lagi.
Selain drama bersiri, Adam turut melibatkan diri dalam industri perfileman yang mana filem pertama lakonannya dalam filem seram berjudul Ia W ujud arahan Dharma Aizat pada tahun 2014. Namun untuk filem tersebut dia dikreditkan sebagai Arif Adam. Lakonannya dalam drama Lara Aishah, Seharum Mawar, Dendam Aurora, serta Raisha pada tahun 2017 turut membantu menaikkan namanya. “Pada masa itu, saya hanya sekadar memegang watak-watak tambahan dan sampingan dan hampir setahun saya tidak mendapat sebarang tawaran dalam industri. Namun ia tidak bermakna saya menyerah kalah dengan mudah,” kata Adam.
Jelas dengan ketekalan ini, pabila dia ditawarkan untuk memegang watak dalam drama ‘Klik! Pengantin Musim Salju’ serta ‘Sejuta Rasa Buat Adelia’, dia pantas mer ebut peluang bagi membuktikan bahawa kehadirannya dalam industri lakonan harus diberikan perhatian. “Sebagai orang baru dalam industri, tipu jika saya katakan bahawa industri ini senang. Saya tidak mewakili mana-mana orang lain, namun tanya sahaja kepada pelakon-pelakon lain pasti mereka akan ujarkan cabaran mereka sendiri terutamanya permulaan mereka untuk memanjat naik dalam industri ini. Saya juga punyai dugaan sendiri, but that is life bukan? Tanpa dugaan kehidupan pasti terasa hambar,” jelasnya. Mengangkat Bront Paralae dan Farid Kamil sebagai idola, Adam bercita-cita untuk memegang watak yang lebih mencabar dan berlainan.
“Walaupun kebanyakan watak yang saya bawa sekarang lebih kepada jejaka romantis mahupun hero, saya sedar saya bukan sesiapa dalam industri ini. Masih seorang yang ‘hijau’ yang cuba mencorak perjalanan karier sendiri. Malah bagi saya untuk mengekalkan nama dalam industri ini juga bukan sesuatu perkara yang mudah untuk dilakukan. Sebagai contoh, jika kita seringkali ditawarkan karakter sebagai seorang hero, kita perlu fikirkan cara untuk dikenali sebagai seorang hero. Bukan bermakna saya akan tolak watakwatak kecil, saya masih lagi menerima apa sahaja tawaran bergantung kepada skrip. Saya tidak boleh terlalu memilih kerana sukar untuk saya bertahan dalam industri ini jika saya bersikap demikian,” tambahnya lagi. Tahun ini pula, Adam menjayakan tiga drama bersiri Adam Chempaka, Puteri Yang Ditukar serta Curi-curi Cinta.
Baru-baru ini drama Curi-Curi Cinta lakonan utama Zahirah Macwilson dan Aiman Hakim Redza diangkat sebagai drama nombor satu di Malaysia dengan jumlah tontonan tertinggi sebanyak 7.5 juta sepanjang siaran bermula April hingga Jun lalu. “Ingat lagi katakata pelakon-pelakon yang lebih berpengalaman berbanding saya, ‘pabila kita berada di tahap ini, usah patah balik ke belakang’. Oleh itu saya hanya akan kekal fokus pada kerjaya dan akan cuba merendahkan diri sebaik yang mungkin.Walaupun saya mula dikenali sekarang, saya akan cuba fikirkan yang positif sahaja dan hanya perlu menjadi diri sendiri iaitu Muhammad Ariff Adam. Haters are going to hate obviously tambah-tambah lagi pabila ramai sudah tahu tentang hubungan peribadi saya,” katanya.
Pelakon muda ini juga merupakan sepupu kepada pelakon terkenal Janna Nick namun kini dia kian berani untuk keluar daripada bayang-bayang ini atas dasar cinta terhadap dunia lakonan. “Saya seorang yang pemalu. Namun apa apa cabaran dan tugas yang diberikan, saya perlu buang rasa malu itu. Bagi saya jika kita lakukan sesuatu yang kita tidak minat, ia hanya membuang masa sahaja. Jujur saya katakan, saya gemar berlakon kerana saya dapat keluarkan imaginasi saya tentang karakter yang bakal dilakonkan menjadi realiti. Jika saya diminta untuk membotakkan kepala sekalipun, saya sanggup lakukannya,” jelas Adam mengakhiri bicara