Fotografi : Ikie / Teks & Penyelaras : Anis Hanini / Arahan Seni : Khairani Ramli / Grooming : Fendi Sani / Pakaian : Zara Men
Kegagalan untuk mendapat tempat di program nyanyian realiti Akademi Fantasia, Mentor mahupun One in A Million sedikit pun tidak memadam semangatnya untuk menempa nama dalam industri hiburan tanah air. Eksperimentasinya dengan genre muzik reggaeton akhirnya berjaya mencuri perhatian dan pantas mendaki carta muzik
Muzik genre Latin pop mula mencuri perhatian dunia pada akhir era 90-an yang mana ia menggabungkan rentak pop Amerika dengan rentak Latin. Penyanyi seperti Selena, Enrique Iglesias, Shakira, Ricky Martin mahupun Marc Anthony antara wajah yang mempopularkan genre ini. Malah, genre muzik ini turut menjadi kegilaan di kalangan pendengar tempatan setelah hadirnya telenovela, hasilnya beberapa lagu Melayu pop dengan pengaruh Latin dilahirkan seperti Vida oleh Phyne Ballerz (cover version). Carta muzik pula kian berubah bermula seawall tahun 2005 dengan kebangkitan muzik rock dan sedikit sebanyak genre Latin tenggelam. Namun pada tahun 2017, Luis Fonsi bersama Daddy Yankee dan Justin Bieber mengeluarkan lagu ‘Despacito’ yang berjaya menghidupkan kembali genre ini dan sekarang hampir kebanyakan lagu di radio mempunyai pengaruh genre ini. April lepas, Andi Bernadee penyanyi berusia 28 tahun ini muncul dengan single keempat berjudul ‘Donde’ yang bermain dengan genre ini. Namun jika ditanya pada dirinya sendiri, Andi lebih selesa dengan pecahan genre Latin iaitu Reggaeton yang mana ia lebih dipengaruhi oleh rentak Latin Amerika, Caribbean dan hip hop.
Lagu ‘Donde’ dicipta oleh Alif daripada Magic Potions membawa maksud ‘di mana’ dan video klipnya pada hari ini telah mencatat lebih 10 juta tontonan. Lantas lagu ini berjaya menaikkan nama Andi di kalangan peminat muzik tempatan namun penerimaan terhadap muzik yang cuba dibawakannya punyai cabaran tersendiri. “Zaman sekarang ini zaman kecam mengecam dan penerimaan pada benda baru agak sukar untuk ditelan ramai. Bagi saya, hidup ini penuh dengan percubaan. Kita perlu keep on trying dan belajar daripada kesilapan kita. Sebagai contoh, dulu saya keluarkan single ‘Tiada lagi Maaf’ yang merupakan satu lagu balada. Saya cuba mengikut trend ketika itu but it just didn’t work out. Genre reggaeton ini pula sesuatu yang saya gemar kerana ia belum pernah dilakukan oleh orang lain sebelum ini. Saya ingin jadikan reggaeton sebagai estetik saya dan sebagai generasi baru, I want to show the world that this is my music. I wish to be the pioneer for reggaeton music di Malaysia. Ya, saya akui saya takut apa yang saya lakukan sukar diterima ramai. Namun dalam hidup ini kita ada pengikut dan trendsetter dan saya ingin menjadi seorang trendsetter,” katanya lagi.
“Dalam industri ini, kita perlu play it smart or play it hard. Peribadinya saya pilih untuk play smart. Reggaeton adalah genre yang saya ingin cuba sejak saya berusia 18 tahun lagi namun pada masa tersebut, tiada orang percaya arah yang saya ingin bawakan itu. Jadi pada mulanya saya menjejak kaki ke dalam industri, saya cuba mendendangkan lagu balada namun it’s not me,”
Ada beberapa suara sumbang mengatakan bahawa lagu ‘Donde’ meniru lagu luar negara dan dengan pantas Andi membantah, “jangan membohong sangat ya. Dalam muzik dan fesyen, hampir semua berpandukan kepada barat. Cuma kita hanya mengambil beberapa idea dan suntik dengan esen lagu Melayu untuk menghasilkan irama dan melodi yang diinginkan. Kami hanya mengambil inspirasi. Malah helaian yang anda pakai sekalipun adalah jenama luar negara, malah cara penataan gaya juga sama. Ia bagi saya, ia bukan sesuatu yang harus didebatkan.” Andi memulakan kerjaya seninya dengan lagu balada ‘Tiada Lagi Maaf’, rakaman semula hit lagu oleh penyanyi Indonesia, Roy Ricardo dengan lagu ‘Semalem Sahur Di Mana’ serta single ketiga ‘Satu Peluang’ namun dia akui bahawa walaupun lagu ‘Satu Peluang’ mula membuatkan namanya naik namun masih ada hadir lagi perasaan ragu-ragu. “Saya takut lagu tersebut tidak boleh berjaya, namun pemikiran saya mula berubah setelah ‘Donde’ berjaya merangkul tempat pertama di carta selain mendapat banyak airplay di radio. Namun saya masih lagi rasa tidak selesa dikenali ramai. Dalam kehidupan seharian pun, pabila kita semakin dikenali, orang ramai akan perhatikan setiap gerak geri kita. Sekecil kuman sekalipun pasti ada audiensnya. To be honest, it actually does feel good to be known namun tanggung jawab dan dugaan juga menjadi lebih besar,” jelas penyanyi kelahiran Kota Kinabalu ini.
Dugaan yang dibicarakan oleh Andi adalah individu yang dia ketemu setiap hari. Pelajaran penting yang Andi belajar sepanjang berada dalam industri ini adalah bukan semua orang yang dia temui boleh dipercayai. “We can be nice to everyone but based on trust, it’s hard to trust people. Ya, saya sendiri pernah lalui perasaan ditikam belakang dalam industri ini dan ia menjejaskan emosi saya. Sebagai contoh, ada beberapa perkara pernah terjadi pada saya tiga bulan lepas dan orang mengambil kesempatan terhadap situasi itu. Normal bagi saya untuk orang menghentam saya terutamanya jika mereka tidak gemar akan saya. Figura sekarang jika dibandingkan dengan dahulu jauh berbeza. Sekarang jika orang tidak suka akan kau, mereka akan terus melontarkan apa sahaja dan kau akan jatuh terduduk kembali. Hakikatnya jika anda ingin menjadi seorang artis zaman sekarang, anda perlu kuatkan diri sendiri kerana mereka akan lontar apa sahaja to your face,” tambahnya lagi.
Sebagai seorang penyanyi, melalui perasaan performance anxiety adalah perkara normal dan ia sendiri pernah terjadi pada Andi pada mula jalan kariernya. “Ingat lagi, ia terjadi pada saya pada tahun 2015 di pentas JomHeboh. Saya belum dikenali ketika itu. Pada mulanya tangan untuk memegang mikrofon pun berketar-ketar. Apa yang menyedihkan adalah pabila saya mula menyanyi, orang mula bersurai. Namun saya harus kekal profesional. Sebelum ini saya pernah menyanyi di hadapan 10 orang audien sahaja. Dua orang juga pernah dan mereka berdua hanya memandang telefon pintar sahaja. It’s not easy to start from the bottom oleh sebab itu saya tidak suka memandang rendah kepada orang lain.” Sebelum mengakhiri bicara, Andi sempat berkongsi bahawa dia bakal menghasilkan sebuah album yang mungkin lahir di pasaran pada tahun hadapan dan genre reggaeton adalah fokus utamanya.