Akhirnya takhta Anugerah Juara Lagu ke-31 menjadi milik lagu Lelaki Teragung nyanyian Dayang Nurfaizah.
Lagu ciptaan Natasyah dan penulis lirik Iman Imran ini berjaya membawa pulang trofi berserta wang tunai berjumlah RM50,000. Ketika ucapan, Iman turut menyatakan yang mana lagu tersebut sebenarnya berinspirasikan bapanya sendiri yang menjadi lelaki teragung di dalam hidupnya.
“Saya ingin mendedikasikan kemenangan ini kepada bapa saya yang juga lelaki teragung dalam hidup saya. Abah, terima kasih. Kalau tidak kerana abah paksa saya belajar tinggi-tinggi, mungkin kejayaan ini tidak dapat dicapai,” ucapnya ketika lagu Lelaki Teragung berjaya dinobatkan sebagai juara AJL tahun ini.
Menurut penulis lirik lagu Lelaki Teragung ini, “Proses pembikinan lagu Lelaki Teragung ini hadirnya dari Natasyah. Bila dia buat, Kak Zila (Ziela Jalil) mahukannya. Kak Ziela kata ia untuk sebuah projek dek kerana saya dan Dayang pernah buat kolaborasi sebelum ini yang juga bersama kak Ziela untuk drama Ariana Rose iaitu lagu Di Pintu Syurga. Jadi, kak Ziela mahukan formula yang sama. Tetapi ketika itu kita kena cari melodi dan pada masa yang sama, Natasyah ada melodi yang kak Ziela inginkan. Jadi, pabila Natasyah bagi, saya menandatangani bersama Indigital sebagai penulis. Indigital meminta saya untuk menulis lagu ini berdasarkan drama 7 Hari Mencintaiku. Drama itu saya percaya ia adalah sebuah karya yang sangat baik dan novel itu sangat bagus, dari segi sudut kandungannya. Dari benih yang baik, bila kita kembangkan dia akan menjadi baik dan baik. Termasuklah lagu yang saya dan Natasyah hasilkan. Tapi, Dayang sendiri bila menerima lagu itu, Dayang terima dan bawa lagu itu kepada Genervie Kam untuk dihasilkan.”
Pada masa yang sama, Dayang turut berjaya mempertahankan kategori vokal terbaik untuk tiga tahun berturut-turut yang mana membawa pulang trofi berserta wang tunai berjumlah RM20,000.
“Bagi Dayang, Dayang bersyukur sangat-sangat. Sebenarnya masa Dayang buat persembahan pun Dayang tiada pun nak fokus macam mana nak menang anugerah vokal ini. Tetapi alhamdulillah, Dayang dah buat sehabis baik untuk persembahan Dayang. Persembahan itu yang Dayang pentingkan demi membawakan yang terbaik,” ujarnya ketika di sidang media.
Pada persembahan terakhir Dayang untuk kemenangannya itu, boleh dilihat yang mana menitis air mata penyanyi vokal terbaik ini. Menurutnya, dia sememangnya terlalu gembira akan kemenangan itu dan sekaligus dia turut terimbas segala usahanya selama ini.
Terangnya lagi, “Sebenarnya Dayang tiada letakkan apa-apa target untuk menang pun. Dayang hanya berharap yang Dayang boleh buat yang terbaik, sihat dan tidak batuk kerana Dayang nak bagi persembahan yang the best. Itu sahaja. Kalah atau menang, Dayang tetap happy sebab Dayang dah bagi yang terbaik.”
Jelasnya lagi, lagu ini tidaklah merujuk kepada Allahyarham Dato’ Adenan Satem yang sentiasa disenangi rakyat Sarawak memandangkan Dayang juga seorang anak bumi kenyalang itu. Tetapi menurutnya, ia hanyalah sebuah lagu yang kebetulan kena pada situasi ketika ini.
“Sebagai anak Sarawak, Dayang pun merasakan kehilangan beliau. Jadi, ini sahaja yang mampu Dayang berikan kepada negeri Sarawak. Dayang tidaklah terlalu rapat dengan beliau, tetapi pernah Dayang membuatkan persembahan untuk beliau memandangkan beliau sukakan muzik. Jadi, apa salahnya jika saya mendedikasikan persembahan ini buat beliau,” terang Dayang lagi.
Bagi tempat kedua pula, lagu Terimaku Seadanya nyanyian Hafiz dan Misha Omar hasil sentuhan Ajai berjaya menandingi lagu-lagu lain. Mereka membawa pulang trofi serta wang tunai berjumlah RM35,000.
Manakala di tempat ketiga ia menjadi milik kumpulan Projector Band yang mempersembahkan lagu Sudah Ku Tahu ciptaan sepenuhnya oleh Razif. Kumpulan ini menerima trofi serta wang tunai berjumlah RM20,000.
Kategori persembahan terbaik diberikan kepada Khalifah dengan lagu mereka berjudul Hang Pi Mana sekaligus mendapat trofi dan wang tunai RM12,000.