Timothee Chalamet mengikut jejak langkah Gene Wilder dan Johnny Depp dengan menggalas watak Willy Wonka dalam prekuel terbaru.
Treler pertama filem Wonka yang dikongsi beberapa hari lalu menunjukkan Timothee Chalamet memegang peranan sebagai versi muda pembuat coklat terkenal itu. Ia mengikuti perjalanan Wonka mencari biji koko, berkawan dengan seorang gadis yatim piatu dan memasang impian memiliki kedai coklat sendiri. Ia turut menunjukkan bagaimana dia bertemu Oompa-Loompa lakonan Hugh Grant buat kali pertama.
Filem fantasi muzikal ini menampilkan kisah sebelum filem pertama, Willy Wonka and the Chocolate Factory yang dikeluarkan pada 1971. Filem yang dibintangi oleh Gene Wilder sebagai watak utama itu diadaptasi daripada karya Roald Dahl dengan tajuk sama.
Buku yang diterbitkan pada 1964 itu menceritakan tentang kehidupan seorang budak lelaki miskin bernama Charlie Bucket. Dia memenangi tiket emas dan berpeluang melawat kilang coklat Wonka bersama beberapa kanak-kanak lain. Ini termasuk Augustus Gloop yang tamak, Violet Beauregarde yang tidak boleh berhenti mengunyah gula getah, Veruca Salt yang manja dan Mike Teevee yang ketagih menonton televisyen.