Oleh: Farhana Fuad
Majoriti lagu yang kita dengar, ada cerita disebaliknya. Ada yang sedih, ada yang menggambarkan kekecewaan, dan ada juga yang menggambarkan percintaan. Setiap satu perkataan dan bait puitis yang dilakar menjadi sebuah lagu mengandungi intipati tersiratnya yang tersendiri.
Jadi, EH! kongsikan lagi lima lagu dengan kisah yang menarik.
Hey There Delilah
Penyanyi kumpulan Plain White T’s, Tom Higgenson pernah berjumpa dengan seorang gadis bernama Delilah di sebuah parti. Tom cuba untuk mengenali Delilah, bahkan berniat untuk berhubungan seks dengannya. Namun Delilah menyatakan yang dia sudah mempunyai teman lelaki dan menolak pelawaan Tom. Tom memberitahu kepada Delilah yang dia akan menulis sebuah lagu tentang Delilah dan ia pasti akan menjadi hit di carta lagu-lagu. Hakikatnya lagu yang ditulis oleh Tom bertajuk Hey There Delilah ternyata menjadi hit dan serta merta Tom menghubungi Delilah dan mengatakan yang ia benar menjadi kenyataan. Paling menariknya, Tom membawa sendiri Delilah sebagai teman ketika menghadiri konsert Grammy dan pada masa yang sama Delilah masih mempunyai hubungan bersama teman lelakinya.
Rehab
Dengan mengambil masa 3 jam sahaja, mendiang Amy Winehouse menulis lirik lagu hitnya yang berjudul, Rehab yang sehingga kini masih mempunyai hitnya yang tersendiri. Bait-bait perkataan Rehab terlintas tatkala perbualan Amy Winehouse bersama Mark Ronson, produser kepada albumnya. Ketika itu Amy sedang bergelut dengan masalah ketagihan arak yang kuat dan baru sahaja dibebaskan dari pemerhatian hospital. Pihak hospital mencadangkan kepada Amy untuk menghadiri sesi pemulihan. Amy berkata kepada Ronson “Kau tahu mereka cuba untuk membuat aku pergi ke pusat pemulihan, dan aku membalas, tidak, tidak, tidak.” Melalui kenyataan yang dilontar dari mulut Amy, Ronson mengajak Amy untuk terus ke studio lagu dan menghasilkan lagu hitnya yang bertajuk Rehab.
Cry Me A River
Sememangnya ramai yang tahu tentang kisah percintaan Justin Timberlake bersama Britney Spears yang akhirnya putus di tengah perhubungan. Melalui lagu berjudul Cry Me A River yang dihasilkan oleh Justin sendiri, ia mengisahkan tentang perpisahan hubungannya bersama kekasihnya pada masa itu, Britney yang berlaku curang kepadanya dalam diam. Bait lirik lagu yang ditulis melalui lagu ini ternyata mencerminkan kisah hati dan perasaan Justin ketika itu yang sangat kecewa akan perbuatan curang Britney kepada perhubungan mereka.
Everything
Di sebalik lagu yang berjudul Everything yang ditulis oleh Britney ini, tersirat mesej mendalam yang membalas semula lagu Cry Me A River oleh Justin Timberlake. Menerusi lagu tersebut, Britney seakan menghantar mesej maaf kepada Justin ke atas perbuatannya yang menghancurkan harapan tinggi Justin kepada perhubungan mereka.
Blank Space
Lagu hit baru dari Taylor Swift yang bertajuk Blank Space dikatakan sengaja ditulis olehnya demi menunjukkan pada media yang kerap mengatakan Taylor sebagai perempuan yang penuh drama dalam dunia percintaannya. Dalam muzik video tersebut, Taylor mencerminkan dia sebagai seorang wanita yang mempunyai ramai teman lelaki, namun dicurangi dalam diam. Menerusi muzik video ini Taylor berniat seakan untuk menujukan mesej kepada media perihal kehidupan percintaannya bersama senarai panjang bekas teman lelakinya.