Siapa sangka, dari Klang ke Seoul, Alicia Wong Lingling, gadis berusia 18 tahun ini kini bersedia melakar sejarah sebagai idola K-pop wanita pertama dari Malaysia.
Nama Lingling kini sedang menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat K-pop selepas diumumkan sebagai salah seorang finalis dalam program realiti terkenal I-LAND 2, iaitu sebuah rancangan pencarian bakat yang diterbitkan oleh HYBE, yang merupakan label besar kepada nama-nama popular seperti BTS, LE SSERAFIM dan New Jeans.
Jika sebelum ini, mungkin ramai masih ingat nama Alisa Ismail, gadis dari Malaysia yang berdarah campuran Malaysia-Thailand pernah mencuri perhatian menerusi program Girls Planet 999 pada tahun 2021. Namun, ketika itu, Alisa telah menarik diri dari pertandingan tersebut sebelum ia mula bersiaran secara rasmi atas sebab peribadi. Maka, dia tidak sempat tampil dalam episod utama atau berpeluang untuk debut dalam mana-mana kumpulan K-pop. Oleh sebab itu, Lingling akan menjadi wanita pertama dari Malaysia jika dia berjaya debut di dalam program realiti tersebut.
Dilahirkan dan dibesarkan di Klang, Selangor, Lingling bukan sahaja memukau juri dan peminat dengan vokal dan tariannya yang bertenaga, walaupun dia perlu bersaing dengan peserta dari Korea, Jepun, Thailand dan Amerika Syarikat, Lingling berjaya menonjol dengan karisma semula jadinya. Lebih membanggakan, dia juga fasih dalam bahasa Korea, Inggeris, dan Mandarin membuktikan bahawa dirinya bukan hanya bersedia, malah layak untuk bersinar di industri yang amat kompetitif ini.
Sejak kemunculan pertamanya dalam rancangan tersebut, peminat tempatan dan antarabangsa mula membentuk fanbase dengan namanya dalam pelbagai bentuk sokongan, melalui undian dalam talian dan dedikasi melalui fan art. Ramai melihat Lingling sebagai simbol kebangkitan bakat Asia Tenggara dalam industri K-pop yang selama ini dikuasai oleh Korea dan Jepun. Di media sosial, hashtag seperti #LinglingForDebut dan #MalaysiaInKpop menjadi trending, membuktikan impaknya yang sudah mula terasa walaupun Lingling masih belum debut secara rasmi.
Jika Lingling berjaya debut dalam kumpulan akhir I-LAND 2, dia bukan hanya mencipta sejarah untuk dirinya, tetapi juga titik permulaan buat ramai anak muda Malaysia yang menyimpan impian besar untuk menjadi bintang K-pop.
Artikel Berkaitan: 7 Idol Termuda Ini Mendominasi Industri K-Pop (Gen Ke-4)