Oleh : Farhana Fuad
Gambar : Instagram Lisa Surihani
Aktres popular, Lisa Surihani berkongsi keterujaannya untuk berhari raya pada tahun ini kerana kehadiran anak sulungnya, Yahaira Leanne ke dalam keluarga kecilnya bersama suami, Yusry Halim
Lisa ketika ditemui di set penggambaran untuk Majalah EH! baru-baru ini berkongsi cerita akan persiapannya untuk menyambut Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Biasanya, Lisa memang banyak menempah baju baru untuk lebaran. Lisa selalu teruja untuk berhari raya. Maksud Lisa yang Lisa menempah banyak baju adalah kerana Lisa menempah baju untuk Lisa, suami, ibu Lisa, ibu mertua, bapa mertua, dan adik-beradik pun Lisa buatkan juga. Lisa mempunyai 4 orang adik beradik lelaki,” katanya.
Namun tahun ini menurut Lisa ia agak sedikit berbeza kerana dirinya tidak menempah persalinan lengkap raya buat adik beradik, ibu, ibu mertua dan bapa mertua atas sebab berjaga-jaga dalam perbelanjaan untuk tahun ini.
“Tetapi tahun ini ia agak berbeza sedikit. Buat tahun ini, kita perlu berjaga sedikit dengan kita punya perbelanjaan. Kebiasaannya Lisa buat untuk adik beradik, tetapi tahun ini Lisa kata ‘boleh tidak jika tahun ini Lisa tidak menempah baju buat mereka’. Buat ibu, ibu mertua dan bapa mertua sememangnya Lisa sejak awal lagi sudah menyediakan peruntukan untuk menempah baju raya buat mereka. Tetapi buat tahun ini, mereka semua berpendapat Lisa tidak perlu untuk melakukan semua itu. Lisa tertanya kenapa, sebab lazimnya setiap tahun memang Lisa belikan untuk mereka. Ia penting untuk Lisa. I want to give. Tetapi sebagai menghormati permintaan mereka, Lisa akur. Jadi Lisa hanya fokus pada persiapan raya untuk Yusry, Lisa dan Yahaira,” ujar Lisa bersahaja menunggu sesi bergambar gilirannya.
“Biasanya keluarga sendiri pun Lisa buat banyak, tetapi tahun ini Lisa buat dua pasang sahaja setiap dari kami,” tambah Lisa lagi.
Lisa turut menyatakan yang Aidilfitri tahun ini agak menerujakan pastinya kerana kehadiran anak sulungnya, Yahaira Leanne. Tahun lalu, Lisa dan Yusry beraya hanya berdua dan pada ketika itu Yahaira masih lagi dalam kandungan.
“Tahun ini memang istimewa kerana tahun ini kami mempunyai anak. Lisa bersyukur Alhamdulillah kerana diberi kesempatan begini. Pastinya Lisa happy. Sebab raya sebelum ini Lisa sedang mengandung. Jadi masa itu Lisa katalah ‘okey lah tahun depan Insya-Allah kalau semuanya berjalan lancar kita akan beraya bertiga.’ Jadi Alhamdulillah tahun ini kami menyambut Aidilfitri bertiga,” kata Lisa.
Lisa turut menyatakan yang dirinya agak tertanya bagaimana ingin menempah dan mereka persalinan raya buat Yahaira yang masih kecil. Yang comelnya, Yahaira tahun ini punya pereka fesyen yang pertama buatnya.
“Untuk Yahaira, pereka fesyen pertamanya adalah Papa Jov (Jovian Mandagie). Untuk hari raya pertama, kami akan mengenakan persalinan rona midnight blue dan hari raya kedua pula dengan rona salmon pink,” Lisa menerangkan lagi.
Pada hari raya pertama, Lisa memilih untuk mengenakan persalinan rekaan Dato’ Bernard Chandran sementara Yusry dan Yahaira dengan persalinan dari Jovian Mandagie. Manakala hari raya kedua, Lisa sekeluarga akan menggayakan rekaan Jovian Mandagie.