Dua ikon muzik generasi muda ini berkolaborasi buat pertama kali dengan lagu campuran Sepanyol dan Inggeris berjudul ‘Lo Vas A Olvidar’.
Selepas mencetuskan perbualan peminat mengenai projek kolaborasi bersama pada 2019, Billie Eilish dan Rosalia akhirnya telah muncul dengan sebuah lagu duet yang cukup dinanti-nantikan peminat mereka. Dua ikon muzik generasi baharu ini mengejutkan dengan lagu berjudul ‘Lo Vas A Olvidar’ yang hampir semuanya dinyanyikan dalam bahasa Sepanyol.
Tidak mengejutkan, lagu ini diterbitkan oleh Finneas yang merupakan abang dan juga penerbit semua lagu Billie Eilish sebelum ini. ‘Lo Vas A Olvidar’ membawa maksud ‘adakah kau akan melupakan aku’ mula diperdengarkan buat pertama kali untuk trailer rasmi siri Euphoria di HBO. Ia akan dimainkan dalam episod istimewa “Part 2: Jules”.
Suara Billie Eilish dan Rosalia bersatu dalam chemistry vokal yang harmoni. Lagu ini menampilkan tempo yang sedikit perlahan, bagaikan dalam awangan mimpi yang cukup menghantui. Ia memberikan mood yang tenang, tetapi lebih mendalam apabila tiba di korus lagu yang berulangan “Lo Vas A Olvidar, Can you let it go? Can you let it go?”. Elemen vokal auto-tune pada akhir lagu juga menyuntik vibe yang lebih melodramatik.
Sehingga hari ini, muzik video lagu ini telah disaksikan lebih 31 juta tontonan di Youtube. Diarahkan oleh Nabil, muzik video ini dimulakan dengan imej Billie Eilish yang sedang duduk melutut berlatarkan kegelapan penuh misteri. Rosalia pula dilihat berbaringan sebelum memulakan nyanyian. Melalui video ini, peminat dapat melihat kedua-duanya mengenakan kuku palsu lutsinar yang sama. Rosalia dan Billie Eilish memang terkenal dengan stail signature kuku palsu yang mencuri perhatian.
Baca lebih lanjut: Raikan Tahun Baharu Dengan Burger Gourmet Jalanan Yang Menyelerakan
Foto: Getty Images