Teks : Khairul Abidin
Good Vibes Festival berlangsung buat kali kelima Julai ini, dan Lorde bakal menjadi highlight kali ini.
Lorde, penyanyi kelahiran New Zealand yang cukup popular dengan lagu “Royals” dan yang terkini “Green Light” antara bintang ternama yang bakal menyerikan pentas Good Vibes Festival yang bakal berlangsung selama dua hari Julai ini. Berlangsung buat kali kelima, festival muzik ini dijadualkan berlangsung pada 21 dan 22 Julai di The Ranch, Gohtong Jaya, Genting Highlands.
Dibawakan oleh Toyota, kerancakan festival ini akan turut dihangatkan kumpulan rock Amerika, The Neighbourhood yang popular dengan “Sweater Weather” dan “Scary Love” bersama-sama duo muzik elektronik dari London, Honne selain bintang pop Australia Nick Murphy fka Chet Faker.
Pentas Good Vibes Festival turut bakal dibarisi pemuzik tanah air seperti penyanyi hip-hop popular, Altimet, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, Kyoto Protocol, Bil Musa dan ramai lagi.
Menariknya kali ini, buat pertama kali festival muzik ini meperkenalkan pas VIP (RM550 untuk dua hari) yang memberi pelbagai kemudahan istimewa seperti bar dan laluan VIP dan banyak lagi. Tiket Good Vibes Festival sudah mula dijual bermula 20 April lalu, bermula dari harga RM330. Good Vibes Festival disokong oleh U Mobile, UOB Yolo dan Resorts World Genting, Layari www.goodvibesfestival.com untuk maklumat terkini.