Pemandu F1, cuti-cuti Malaysia…
Siapa sangka kepulangan Formula 1 ke Malaysia selepas lapan tahun bukan sekadar menghidupkan semula suasana di Litar Antarabangsa Sepang, malah turut menyaksikan para pelumba ‘bercuti’ sekejap menikmati sisi Malaysia yang jauh daripada dunia perlumbaan!

Untuk edisi 2026, Sepang menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix pada 2 hingga 4 Oktober selepas perlumbaan Bahrain dipindahkan ke Malaysia.
Namun, sebelum turun beraksi di litar, beberapa pelumba nampaknya sempat meluangkan masa meneroka Malaysia.
Daripada aksi di litar yang penuh kelajuan, terus bertukar kepada gelagat santai yang mencuit hati! Ini lima momen pelumba F1 ketika berada di Malaysia:

1. Kimi Antonelli ‘healing’ di SplashMania Waterpark?
Kalau biasanya kita tengok Andrea Kimi Antonelli dalam pakaian perlumbaan Mercedes-AMG PETRONAS, minggu ini peminat Malaysia nampaknya berpeluang melihat sisi lebih santai pelumba muda Itali itu.
Perkongsian yang beredar di media sosial menunjukkan Antonelli berada di SplashMania Waterpark, membuatkan ramai peminat terhibur melihat pelumba F1 memilih aktiviti yang jauh berbeza daripada kehidupan penuh tekanan di litar.

2. Pelumba F1 turun padang… untuk main go-kart!
Kalau sudah berada di Malaysia, memang agak mustahil untuk sekumpulan pelumba F1 duduk diam sahaja.
Beberapa pelumba dilihat mengambil peluang untuk berlumba go-kart, dengan video mereka berlumba sesama sendiri turut menjadi bualan peminat.
Malah, perlumbaan itu nampaknya bukan sekadar aktiviti suka-suka. Perkongsian peminat menunjukkan George Russell muncul di tempat pertama, diikuti Carlos Sainz di tempat ketiga, Alex Albon keempat, Oliver Bearman kelima, Gabriel Bortoleto keenam dan Oscar Piastri ketujuh.
Pendek kata, mereka datang Malaysia untuk Grand Prix tetapi sempat buat satu lagi Grand Prix versi mini!

3. Aston Martin & McLaren turut ‘check-in’ Batu Caves
Malaysia tanpa Batu Caves? Memang tak lengkap.
Antara lokasi yang mendapat perhatian ialah Batu Caves, dengan perkongsian berkaitan pasukan F1 di Malaysia turut menarik perhatian peminat.
Bagi pelawat luar negara, Batu Caves sememangnya antara tarikan yang cukup unik, daripada tangga warna-warni hingga formasi batu kapur dan kompleks gua yang menjadi lokasi kuil Hindu.

4. Dari litar terus ke Taman Eko Rimba
Perkongsian di media sosial menunjukkan mereka mengunjungi Taman Eko Rimba, memberikan gambaran bahawa pengalaman mereka di Malaysia bukan sekadar hotel, litar dan acara penajaan.
Taman Eko Rimba Kuala Lumpur sendiri terletak dalam Hutan Simpan Bukit Nanas, hanya kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar. Antara aktiviti yang ditawarkan termasuk denai, trekking, titian silara dan pemerhatian hidupan liar.

5. F1 boys’ trip bertukar jadi percutian Malaysia
Sebelum tiba di Sepang, beberapa pelumba dilaporkan mengambil kesempatan daripada jarak masa antara perlumbaan untuk menikmati masa bersama di Malaysia.
Carlos Sainz dan Alex Albon sebelum ini mendedahkan mengenai rancangan “boys’ trip” bersama beberapa pelumba lain. Perkongsian yang beredar selepas itu menunjukkan beberapa nama besar termasuk George Russell, Carlos Sainz, Alex Albon dan Oliver Bearman menikmati masa bersama di Malaysia.
Daripada gambar dan video yang tersebar, mereka kelihatan lebih seperti sekumpulan kawan yang sedang bercuti berbanding pelumba profesional yang bakal berdepan perlumbaan F1.
Dan ya, peminat memang mengambil kesempatan untuk mengusik mereka.
Sebab bila lagi nak tengok sekumpulan pelumba F1 paling terkenal dunia keluar bercuti bersama?
Baca: 5 Sebab Kenapa F1 Berhenti Berlumba di Litar Sepang Selepas 2017
