EH! mendekati figura yang kini asyik menjadi perhatian umum, menyoroti impian kerjaya seninya serta mendalami perasaan dan isi hatinya. Tentang Syed Saddiq? Bella ada jawapan di akhir bicara.
Saat artikel ini ditulis, saya percaya hati Bella Astillah sedang berbunga-bunga (bukan merujuk hubungan rapatnya dengan YB Syed Saddiq), masakan tidak akhirnya lagu raya solonya ‘Ya Raya’ sudah terlancar. “Akhirnya saya ada lagu raya solo kerana sebelum ini lebih kepada berkolaborasi dan duet,” kata Bella membuka bicara.
Bella Astillah atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, berasal dari Sandakan, Sabah. Membesar dalam keluarga yang mencintai seni, ayahnya mahir bermain pelbagai alat mzuik, dari tradisional hingga ke instrumen moden. Malah dari ayahnya juga Bella belajar memetik gitar dan ayahnya juga yang mendidik anak Bella, Ayden bermain piano. Bella membuka langkah sulungnya ke dunia seni dengan memberanikan diri menyertai pertandingan nyanyian Bintang Kecil pada tahun 1999. Debut dari situ, Bella mula aktif mencari ruang dan peluang melebarkan langkah seninya. Tidak sendirian, Bella diiringi adiknya, Didi Astillah yang turut aktif di dalam bidang seni.
Hari ini, langit mendung yang pernah memayungi ibu kepada dua cahaya mata ini seakan beralih dan cahaya matahari yang terang-benderang menyinari hari-harinya. Beriring semangat yang dipinjamkan oleh keluarga, anak-anak dan orang terdekat, peminat menggelar Bella sebagai iron lady dek kecekalannya. Bernaung dibawah payung Universal Music Malaysia juga seakan trek terbaik untuk dia terus berlari mengejar impiannya yang belum tertunai di dalam dunia muzik.

Untuk tahun 2026, apa yang peminat boleh jangka dari Bella?
Saya ada beberapa projek yang dalam perancangan, akan kembali dengan drama baru dan juga akan ada album yang akan dilancarkan tahun ini, Insya-Allah. Ini antara dua projek yang sangat special. Selepas lebih kurang setahun tidak berlakon kerana memberi fokus pada kempen dan ambassadorship, akhirnya akan ada drama baru.
Setakat ini, apakah momen seni terbaik bagi Bella?
Alhamdulillah perjalanan dipermudahkan. Dua tahun lepas Bella dapat mewakili Malaysia untuk satu persembahan di China (Wuhu Shenshan Music Festival 2024). Kemudian hujung tahun lalu dicalonkan dalam top five di Anugerah Bintang Popular, dan saya anggap ini antara pencapaian manis setakat ini. Di mata orang lain ia mungkin tidak begitu besar tapi bagi saya yang bermula dari kecil dan tak pernah berhenti, ini adalah satu momen manis. Saya juga berpeluang menjadi pembuka pembuka Konsert Glenn Fredly Holographic Performance dan juga dapat bergandingan dengan penyanyi bervokal hebat di Konsert Sumandak Stars seperti Marsha Milan, Ayu Damit, Salma dan ramai lagi.
Apa goals Bella dalam bidang seni?
Goals saya dalam bidang seni bukanlah mahu jadi artis yang meletop-letop, cukup sekadar untuk orang percaya dengan bakat saya, orang nampak apa usaha saya. Saya mahu orang nampak hal yang positif berbanding negatif. Saya mahu lahir dengan karya yang berkualiti, baik lakonan mahupun lagu. Saya mahu kualiti suara dan persembahan saya diperbaiki.
Saya tak sempurna, tapi bila ada orang yang memberi semangat dan kritikan saya ambil itu sebagai ruang untuk memperbaiki mana yang kurang. Dan sebagai penyanyi saya memperbaiki diri bukan kerana kita mahu bersaing, dan setiap artis ada matlamat kita sendiri. Saya nak lunaskan satu-satu tuga dengan ikhlas dan berikan yang terbaik, memberi impak pada yang mendengar dan klien yang menjemput kita juga berpuas hati.
Siapa rujukan atau idola Bella dalam bidang seni?
Tak lain tak bukan, semua orang pun mengidolakan beliau, semestinya Dato Sri Siti Nurhaliza. Saya percaya dia juga bermula dari bawah dan dia kekal relevan sampai ke hari ini. Dari saya kecil sampailah saya sudah ada dua cahaya mata, Dato Sri Siti terus diminati. Dia kekal humble, cantik, berbakat, baik budi bahasa dan disayangi semua generasi. Biar dia berada di atas dia kekal membumi. Berkali-kali juga bertemu di event, dan dia tidak kisah untuk menyanyi bersama walaupun saya ni kecil jika dibandingkan dengan dia, namun dia tak pernah memandang rendah. Dia antara ikon yang boleh saya contohi dari segala aspek, sebagai ibu, penyanyi yang hebat dan keperibadian.

Bagaimana Bella mengambil dan menerima kritikan? Sebagai contoh apabila ada yang berpendapat Bella belum bersedia untuk menjadi seorang penyanyi yang baik.
Seperti yang saya cakap tadi, saya menerima setiap kritikan kerana itu yang mendorong saya untuk menjadi lebih baik. Kalau saya nak dengar benda yang saya suka atau yang baik-baik saja, saya tak akan ke mana-mana. Bila ada yang cakap saya bukan penyanyi yang baik, saya takkan cakap saya tak setuju, mungkin pada dia ada banyak yang perlu saya perbaiki. Dan itulah proses dan progress yang saya cuba tunjukkan supaya orang tahu saya ada inisiatif untuk memperbaiki diri. Saya belajar vokal dan saya berlatih dengan my dad.
Saya ambil Mahalini sebagai contoh, saya mengikuti dia sejak dia menyertai Indonesian Idol, dia tidak menang tapi lihat di mana dia hari ini? Namanya sebaris dengan nama-nama besar di Indonesia. Ia membuat saya sedar di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sebagai penyanyi saya sedar banyak yang perlu saya perbaiki, tapi tidaklah sampai saya mahu berhenti menyanyi. Sebagai penyanyi, kritikan dari orang luar, peminat dan netizen membuat saya bangkit untuk menjadi seorang penyanyi yang berkaliber, yang ada tujuan bukan sekadar nyanyi saja-saja buat cover. Saya sejujurnya okey saja, mungkin di mata orang ya belum bersedia, Insya-Allah setiap proses dan progress lama kelamaan kalau kita sabar dan ikhlas akan ada manisnya di hujung nanti.
Apakah cerita atau mesej yang ingin Bella sampaikan dalam karya-karya akan dilancarkan di masa akan datang?
Sebenarnya saya saya cenderung menyukai lagu yang ada mesej. Lagu-lagu Yura Yunita dan Tulus misalnya, mereka menyampaikan mesej yang penting yang berkait dengan realiti kehidupan. Contohnya ‘Gemuruh’ Faizal Tahir atau ‘Manusia Kuat’ Tulus, lagu-lagu begini dekat di hati saya. Bella ada satu lagu begini, ‘Tenang’ liriknya saya tulis sendiri. Antara bait liriknya “Ku hanya ingin bebas di saat bumi bergelora”.
Saya sukakan lagu yang boleh lift up semangat. Insya-Allah di masa akan datang akan lebih banyak lagu begini. Saya mahu yang mendengar sedar yang mana bila kita jatuh takkan selamanya kita terus jatuh kerana Allah itu maha adil. Selagi kita ada niat yang baik dan kita ikhlas, kita boleh bangkit tanpa menjatuhkan orang lain.

Bella sudah melalui bermacam-macam, ada yang indah dan sebaliknya, dan semua ini diketahui umum. Apakah pelajaran terbesar yang Bella pelajari sejak menjadi selebriti?
Wow, jarang dapat soalan macam ni. Apa yang boleh saya katakan of course sebagai selebriti apa saja tindak-tanduk kita akan menjadi perhatian. Apa yang kita kongsi akan pantas disebarkan kerana kita selebriti. Walhal apa yang kita lalui, dilalui oleh orang lain juga cuma mereka tak dikenali. Jadi, apa yang saya belajar, sebagai selebriti kita kena tunjukkan perkara yang baik-baik, supaya boleh dicontohi. Allah sudah beri kita platform, menjadi seorang yang dikenali, saya belajar untuk jadi lebih matang.
Tidak kisah apa saja yang berlaku sama ada saya sebagai ibu, anak atau selebriti, kita tunjuk yang baik Insya-Allah orang akan ikut yang baik-baik. Benda yang tak baik bukan tak boleh tunjuk tapi eloklah dijauhi. Sebagai seorang yang dikenali, sentiasalah membumi, humble kerana kita tak selamanya di atas. Kita tunjuk dan buat yang baik, yang terjadi dalam hidup kita pun baik-baik, Insya-Allah.

Okey, kita borak-borak hal yang lebih peribadi. Sebagai ibu kepada Ayden Adrean dan Ara Adreanna, boleh Bella ceritakan karakter setiap seorang dari mereka?
Ayden dan Ara punya karakter berbeza. Ayden lebih soft dan Ara anak kedua pula lebih rough, lebih kental. Saya rapat kedua-duanya, tapi biasalah anak pertama lain, anak kedua caranya lain. Dua-dua mendapat layanan sama rata, tak ada yang lebih tak ada yang kurang.
Bella dilihat sebagai seorang yang kuat jika dinilai dari pengalaman yang dilalui sebelum ini. Dari mana kekuatan itu datang?
Definitely my family, 110 percent datangnya dari keluarga. Alhamdulillah dikurniakan ibu dan ayah yang baik, tidak melebih-lebih, dan mereka mengajar saya tentang kesabaran kerana Allah memang sayang orang yang sabar. My parents selalu ingatkan, apa saja yang kita lalui adalah ujian dari Allah kerana dia nak beri sesuatu yang lebih manis dan indah. Tiada manusia yang tak diuji, lalui dengan sabar dan tenang kerana bila diuji ia datang dengan hikmah. Inilah yang orang kata selepas hujan pasti ada pelangi. Dan of course kekuatan itu datang dari kedua-dua anak saya. Bila melihat wajah mereka, inilah anugerah dari Allah dan ia satu ingatan buat saya bahawa inilah insan yang perlu saya hargai. Syukur Alhamdulillah.
Jika boleh dinamakan 3 individu yang menjadi pendorong dan kekuatan Bella hari ini, siapakah dia?
Tiga je? Ayden, Ara and my mom, my sister juga, Didi. Sebenarnya ramai, tak cukup tiga.
Ramadan dan Syawal sering dikaitkan sebagai bulan untuk kita bersyukur. Apakah perkara yang paling Bella syukuri untuk tahun 2025?
Saya bersyuklur kerana ibu bapa saya masih di sisi kerana saya lihat ramai kehilangan ibu atau ayah. Saya bersyukur dikelilingi orang yang hebat dan baik-baik. Bersyukur dapat menjalani ibadah puasa bersama keluarga, anak-anak. Lagi satu saya bersyukur kerana saya heal, sembuh dari luka-luka yang pernah ada. Saya bersyukur saya boleh bangkit dengan tenang dan bersedia, untuk bekerja dan macam-macam lagi. Saya rasa untuk sembuh ia memang akan mengambil masa, namun kalau kita redha dan cuba ikhlaskan, Insya-Allah kita akan diberikan ketenangan itu.

Hari ini, YB Syed Saddiq adalah lelaki yang dilihat paling rapat dengan Bella. Apa yang membuatkan Bella selesa dengannya?
Dia seorang yang sangat baik hati, orang yang suka menolong orang lain. Ini adalah karakter yang sangat penting dalam setiap individu. Ada orang banyak duit, ada rupa paras tapi kalau tak ada sifat dan hati yang baik memang akan susah kerana dia tiada empati dalam hidup. Saya percaya kebaikan itu yang akan kekal ke tua sebab kalau hati dia baik, Insya-Allah kita akan hidup dalam ketenangan. Dia bukan seorang yang suka bercakap buruk tentang orang lain. Dia seorang yang suka membantu orang lain.
Dulu, sewaktu dalam fasa kita berkenalan, mana-mana kawan Bella yang dalam masalah, dia akan cuba bantu. Apa yang saya nampak dia buat untuk rakyat Muar, apa saja kempen yang dia buat, pendapatan itu 100 peratus untuk orang Muar. Dia boleh ambil duit itu tapi dia tak selfish, dia memilih untuk bantu orang yang memerlukan. Inilah yang buat saya selesa dan dia memang seorang yang sangat memahami saya. Dia adalah orang yang saya boleh bercerita tentang semua perkara kerana dia bukan seorang yang judgemental.
Lagi satu dia seorang yang respectful, sangat menghormati orang tua. Saya suka berjumpa dengan orang yang baik, kerana ada orang dia baik dengan orang luar tapi tak melayan baik keluarga sendiri. Syed Saddiq melayan baik keluarga dia dan keluarga saya, menjaga parents dia. Dia baik dengan semua orang.
Tiga karakter Syed Saddiq yang mungkin tidak diketahui ramai orang di sebalik ketegasannya di Parlimen?
Dia kelakar. Sangat kelakar! He can be very funny. Lagi dua apa ya? Dia suka menyanyi. Lagi satu… dia… saya rasa dua tu je lah. Boleh ke dua je?

Ramai menanti pengumuman istimewa Bella dan Syed Saddiq, apa perasaan Bella tentang expectation ini?
Sebenarnya saya takkan ulas lanjut tentang hal ini kerana saya sebagai seorang perempuan rasanya kurang manis untuk huraikan lebih lanjut. Biarlah semua itu datang dari Syed Saddiq sendiri. Insya-Allah berkat orang ramai, doa-doa yang saya sendiri tak pernah sangka, saya syukuri dan hargai.
Apa saja expectation yang baik-baik, moga semuanya dipermudahkan. Selebihnya, saya sebagai seorang perempuan hanya mampu meminta doa orang ramai. Biarlah Syed Saddiq sebagai lelaki lunaskan apa yang perlu. Apa-apa pun terima kasih atas doa-doa, mana-mana yang baik moga Allah permudahkan dan mana yang tak baik semoga Allah jauhkan.
