Penyanyi dan penulis lagu popular, Madison Beer kini melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan peribadinya apabila mengumumkan pertunangannya dengan pemain quarterback Los Angeles Chargers, Justin Herbert. Berita gembira itu dikongsikan pasangan berkenaan menerusi satu hantaran bersama di Instagram pada 28 Julai, dengan caption ringkas namun penuh makna, “meet my fiancé.” Momen istimewa itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai hala tuju hubungan mereka yang mula menjadi perhatian umum sejak tahun lalu.
Lamaran Bak Dalam Filem Romantik
Justin memilih sebuah taman yang dikelilingi bunga putih, kehijauan dan panorama gunung sebagai lokasi lamaran. Menerusi foto yang dimuat naik, pemain NFL berusia 28 tahun itu dilihat melutut sambil menyarungkan cincin ke jari Madison, yang tampil anggun dalam gaun putih. Beberapa foto lain turut memaparkan pasangan itu berpelukan, ketawa bersama dan menikmati detik penuh emosi selepas lamaran diterima.
Turut mencuri perhatian ialah sebuah papan tanda bertulis “Mr. & Mrs. Herbert”, sekali gus memberi bayangan bahawa pasangan itu sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan. Madison Beer dan Justin Herbert mula dikaitkan sebagai pasangan sekitar Ogos 2025 selepas Herbert dilihat mengunjungi lokasi penggambaran video muzik penyanyi itu. Beberapa minggu kemudian, mereka semakin menjadi bualan apabila dilihat meluangkan masa bersama.
Hubungan mereka akhirnya disahkan kepada umum pada Oktober 2025 apabila Madison hadir memberi sokongan kepada Herbert di perlawanan Los Angeles Chargers di Stadium SoFi. Kedua-duanya dilihat berkongsi ciuman di tepi padang, sekali gus mengesahkan hubungan yang sebelum itu hanya menjadi spekulasi peminat.
Walaupun semakin terbuka mengenai hubungan mereka, Madison dan Herbert tetap memilih untuk menjalani kehidupan cinta secara sederhana. Mereka jarang berkongsi kisah peribadi secara berlebihan, namun sesekali memuat naik ucapan istimewa sempena hari lahir atau pencapaian masing-masing di media sosial.
“You Changed My Life Forever”
Pada Mac lalu, sempena ulang tahun kelahiran Madison yang ke-27, Justin Herbert berkongsi ucapan romantis di Instagram yang menarik perhatian peminat.
“Happy birthday to my favorite person of all time. I love you so much. You’ve changed my life forever.”
Ucapan tersebut menerima ribuan komen daripada peminat yang menganggap hubungan mereka semakin serius dan hanya menunggu masa untuk mengumumkan pertunangan.
Tidak lama selepas itu, Madison sendiri turut berkongsi tentang hubungan mereka ketika muncul dalam sebuah podcast. Penyanyi lagu Selfish itu mengakui Justin Herbert membuatkan dirinya berasa paling disayangi, dihormati dan selamat. Menurut Madison, hubungan mereka dibina atas kepercayaan serta sokongan antara satu sama lain, sesuatu yang jarang ditemuinya sebelum ini.
Cincin Pertunangan Jadi Perhatian
Selain kisah cinta mereka, cincin pertunangan Madison turut menjadi topik hangat di media sosial. Walaupun pasangan itu belum mendedahkan butiran rasmi, beberapa pakar barang kemas menganggarkan cincin tersebut menampilkan berlian elongated cushion-cut yang dipasang pada jalur platinum atau emas putih dengan rekaan solitaire klasik.
Nilai cincin itu dianggarkan mencecah antara AS$500,000 hingga lebih AS$1 juta bersamaan kira-kira RM2.04 juta hingga melebihi RM4.09 juta, bergantung kepada berat dan kualiti berlian dengan sesetengah pakar menganggarkan batu permata tersebut berpotensi mencecah lima hingga 10 karat atau lebih.
Tahun Bermakna Buat Madison Beer
Pertunangan ini melengkapkan tahun yang cukup bermakna buat Madison. Selepas mencipta kejayaan menerusi album studio ketiganya, Locket, serta menjayakan siri jelajah konsert di Amerika Utara dan Eropah, penyanyi berusia 27 tahun itu kini memulakan satu lagi babak baharu dalam kehidupan peribadinya.
Sehingga kini, Madison Beer dan Justin Herbert masih belum mengumumkan tarikh perkahwinan mereka. Namun, berita pertunangan itu menerima ribuan ucapan tahniah daripada peminat serta rakan selebriti, yang tidak sabar menantikan hari bahagia pasangan sensasi dunia muzik dan sukan itu.
Artikel Berkaitan:






