Selain menghiburkan jutaan peminat di seluruh dunia, persembahan halftime ini turut membawa misi kebajikan apabila organisasi Global Citizen menyasarkan kutipan sebanyak AS$100 juta untuk FIFA Global Citizen Education Fund. Setiap AS$1 daripada setiap tiket yang dijual disalurkan terus ke dana tersebut bagi menyokong akses pendidikan kepada kanak-kanak di seluruh dunia.
Buat julung kalinya dalam sejarah Piala Dunia FIFA, pentas final bukan sekadar menyaksikan pertembungan bola sepak, malah turut menampilkan pertunjukan halftime rasmi bertaraf dunia. Berlangsung di MetLife Stadium, New Jersey, persembahan berdurasi sebelas minit itu menghimpunkan nama-nama terbesar industri muzik termasuk Madonna, BTS, Justin Bieber dan Shakira. Diilhamkan seperti persembahan ikonik Super Bowl Halftime Show, arah kreatifnya diterajui oleh vokalis Coldplay, Chris Martin.

Madonna Buka Tirai Dengan Gaya Ikonik
Tiada siapa yang membuka persembahan lebih dramatik daripada Madonna. Digelar Queen of Pop, beliau muncul menaiki sebuah buggy yang dipandu legenda Brazil, Ronaldo Nazário, manakala Ronaldinho berada di tempat duduk penumpang. Madonna kemudian menghiburkan penonton menerusi lagu klasik Music, diiringi elemen orkestra yang dikendalikan konduktor terkenal Gustavo Dudamel, selain kemunculan istimewa watak ikonik Animal daripada The Muppets di bahagian dram.

BTS Curi Tumpuan Dengan Dynamite
Antara momen yang paling dinanti sudah tentunya kemunculan BTS. Kumpulan sensasi Korea Selatan yang dianggotai RM, Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V dan Jung Kook menghangatkan stadium dengan lagu hit global Dynamite. Lebih menarik, BTS memberikan sentuhan kreatif apabila mengubah beberapa lirik lagu tersebut bagi meraikan suasana Piala Dunia. Antara lirik yang mencuri perhatian ialah “King Kong, kick the ball” dan “Ice tea, and a game of football”, sambil V melakukan aksi menendang bola di atas pentas. Koreografi yang penuh bertenaga, disertai gerakan ikonik BTS serta sorakan puluhan ribu penyokong menjadikan persembahan mereka antara yang paling mencuri perhatian malam itu. Ramai peminat turut berpendapat kumpulan tersebut sepatutnya diberikan tempoh persembahan yang lebih panjang.

Justin Bieber Buat Kemunculan Istimewa
Kemunculan Justin Bieber diumumkan dengan cara unik apabila watak Ted Lasso dan Coach Beard memperkenalkannya sebagai pemain gantian. Penyanyi Kanada itu memilih untuk mempersembahkan lagu terbaharunya Everything Hallelujah, sebelum mengakhiri persembahan dengan sentuhan khas bertemakan bola sepak menerusi lirik World Cup Hallelujah. Walaupun persembahannya menerima reaksi bercampur daripada peminat yang mengharapkan lagu-lagu popular seperti Sorry atau Baby, kehadirannya tetap mencetuskan sorakan gemuruh di stadium.

Shakira Kembali Sebagai Ratu Piala Dunia
Nama Shakira sememangnya sukar dipisahkan daripada pentas Piala Dunia. Penyanyi Colombia itu sekali lagi membuktikan statusnya apabila mempersembahkan lagu rasmi Piala Dunia FIFA 2026, Dai Dai, bersama penyanyi Nigeria, Burna Boy. Vokal serta aura persembahannya berjaya menghidupkan suasana, sekali gus mengukuhkan lagi reputasinya sebagai antara artis yang paling sinonim dengan kejohanan bola sepak terbesar dunia.

Penutup Penuh Emosi Bersama Coldplay
Sebagai penutup, Coldplay bersama PS22 Chorus, koir kanak-kanak dari Staten Island, mempersembahkan lagu Believe in Love. Kesemua artis kemudian kembali ke pentas untuk mengakhiri persembahan dengan mesej perpaduan dan harapan, sementara frasa Believe in Love dipaparkan di tengah padang. Gabungan muzik, budaya pop dan bola sepak ini menjadikan final Piala Dunia FIFA 2026 bukan sahaja bersejarah dari sudut sukan, malah turut membuka lembaran baharu dalam dunia hiburan global.
Artikel Berkaitan: 10 Fakta Lamine Yamal, Bintang Muda Sepanyol Yang Mencipta Sejarah
