Sekian lama tidak beraksi pentas, Mafarikha kini kembali dengan persembahan yang berjaya mencuri tumpuan juri di Asia’s Got Talent.
Beberapa tahun seakan menghilang dari radar hiburan industri, Mafarikha Md Akhir tampil di pentas Asia’s Got Talent dengan membawa lagu Hero nyanyian asal Mariah Carey.
Ternyata persembahan naib juara program realiti, Vokal Bukan Sekadar Rupa itu berjaya menerima tepukan gemuruh penonton serta memikat hati tiga juri Asia’s Got Talent iaitu David Foster, Anggun dan Jay Park.
Mafarikha akui yang dirinya sangat gementar ketika beraksi di persaingan awal pertandingan itu. Ketika tamat persembahan, ketiga-tiga juri terus memberikan penghormatan kepadanya kerana dikatakan berjaya mencuri tumpuan mereka.
Menerusi laman Instagramnya, Mafarikha terlebih awal memohon maaf kerana terpaksa merahsiakan penyertaannya dalam pertandingan tersebut.
https://www.instagram.com/p/BauD3sABVJR/?taken-by=mafarikha
Tulisnya, “Memang betul saya menyertai pertandingan Asia’s Got Talent. Sekian lama tidak beraksi di pentas besar, saya agak gementar hingga ramai yang menegur wajah saya kelihatan begitu pucat sebelum membuat persembahan. Terlalu banyak dugaan dalam kerjaya nyanyian saya dan secara jujur, saya penat diajukan soalan yang sama. Di sebalik semua itu, saya gembira dapat mewakili Malaysia untuk musim kedua pertandingan itu. Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk mereka yang tidak pernah jemu menyokong sejak enam tahun lalu.”
Mafarikha yang selamat bergelar isteri pada Julai tahun lalu kini seakan bersedia untuk kembali ke industri hiburan tanah air. Sebelum ini, Mafarikha yang juga seorang mekap artis ini pernah menghasilkan lima buah single, antaranya adalah Jujur Saja Sayang dan Tolong.