Mimi Rozaiana Zainal Abidin bermula perlahan namun konsisten. Dari muncul di layar kaca dengan skrip sebaris dua untuk siri A.K.U dan Cinta Jannah, Mimi Lana terus bergerak ke depan dan diletakkan tanggungjawab sebagai pemeran watak-watak penting dalam drama juga filem.
Tahun lalu gadis tinggi lampai ini dianugerahkan trofi Gandingan Serasi Filem Popular yang diraih bersama pujaan hatinya, aktor Syafiq Kyle. Pernah juga dia membolosi lima terbaik untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin ke-23. Melihatkan reputasi, komitmen dan cintanya kepada dunia lakonan, saya percaya Mimi Lana akan diletakkan sebaris dengan pelakon berkaliber tanah air yang lain sedikit masa lagi. Ikuti temubual EH! (bahagian 1) bersama bintang kelahiran Taiping, Perak ini.

Arahan Seni & Penata Gaya: KHAIRUL ABIDIN ISHAK, Pembantu Penata Gaya: JOHAN KASSIM, Foto: EDMUND LEE, Solekan: KHIR KHALID MENGGUNAKAN YSL BEAUTY, Dandanan: CKAY LIOW
Lapan tahun dulu bila Mimi mahu ke KL untuk jadi pelakon, apa kata Ibu dan ayah?
Sebagai emak dan ayah semestinya berat hati bila berjauhan dengan anak sendiri. Apa yang saya ingat mereka tak setujulah, tapi akhirnya kemahuan saya dituruti. Saya bukan seorang yang pandai menipu, saya tak pandai nak sorok-sorok, apa saja yang saya buat saya akan beritahu. Jadi apa yang saya nak buat, saya akan terus terang. Saya pula sejenis orang yang akan usaha sampai saya dapat apa yang saya mahu. Jadi bila saya akan push and push sampai jadi. Saya ke KL bermula dengan modeling, kemudian dapat peluang berlakon.
Masih ingat tak perasaan pertama ibu dan ayah mimi bila mereka menonton drama lakonan Mimi?
Saya bermula sebagai pelakon ekstra, sekadar jadi orang jalan-jalan kat belakang. Jangan tanya filem apa sebab saya tak ingat, tapi kalau saya ingat sekalipun saya takkan bagitahu you (ketawa). Apa yang saya ingat penggambaran itu dibuat di Taiping. Emak dan ayah saya sangat supportive, walaupun saya sekadar pelakon ekstra mereka nak juga ke panggung untuk tengok. Bila fikir-fikir kelakar tapi saya syukur sebab saya ada emak dan ayah yang menyokong apa yang anak dia nak buat.
Menjadi pelakon atau orang terkenal, atau terbabit dalam dunia glamor, adakah itu angan-angan Mimi sejak kecil?
Saya tak pernah terfikir pun nak terlibat dalam bidang ini. Saya macam orang lain, suka tengok filem, drama tapi memang tak terlintas niat nak jadi pelakon. Saya mula dengan modeling dan bidang itu saya rasa berkait, dari situlah peluang datang. Nenek saya dulu pernah berlakon teater jadi mungkin bakat itu datang dari dia.
Selepas beberapa tahun bergelar selebriti, Mimi rasa jika boleh diputar balik masa, Mimi masih mahu jadi pelakon?
Semestinya! Sebab saya memang dah jatuh cinta dengan berlakon. Saya suka kamera, saya suka berada di set, sampaikan bila di set saya tak rasa seperti bekerja kerana saya betul-betul enjoy dengan suasananya. Saya tak terfikir nak jadi pelakon tapi bila dah merasai sendiri pengalamannya, saya suka. Lagi satu saya tak anggap diri saya selebriti sebab saya anggap diri saya ni orang biasa yang bekerja sebagai pelakon. Tugas saya berlakon, saya bukan selebriti.
Bagaimana Mimi membezakan komen, antara nasihat atau sekadar kebencian?
Bila kita allow sesuatu yang kita letak di media sosial, bila kita dah buka ruang orang tengok, komen, jika kita tak boleh terima kita usah guna media sosial, atau kurangkan. Kita kena bersifat terbuka dan cuba terima itu fitrah media sosial. Kita usah trigger orang, dan saya harap saya tidak akan muat naik benda yang bukan-bukan. Media sosial sangat tricky sebenarnya, kadang-kadang kita rasa apa yang kita post itu okey, tapi sebenarnya tidak. Biar kita yang kawal medi sosial bukan sebaliknya.
“Untuk Mimi Lana yang berusia 26 tahun ini masih banyak yang perlu saya belajar. Ada masanya saya perlu ambil apa yang orang cakap, kalau benda itu tak salah mungkin orang tak bercakap. Saya perlu perbetulkan diri, ambil komen negatif kita jadikan positif. Saya sendiri masih lagi mencari keseimbangan, masih mahu menjadi diri sendiri dan dalam masa yang sama mengambil kira pandangan orang.”
Mimi menapis apa yang mahu dikongsi dengan tujuan menjaga eksklusiviti?
Kalau gambar tak cantik, saya tak post lah (ketawa). Jika orang tengok apa yang saya post kebanyakannya berkaitan dengan kerja, saya sendiri tak letakkan had apa yang boleh post apa yang tidak. Tapi saya memang letakkan Instagram itu sebagai ruang untuk saya bekerja. Sesekali saya kongsi apa yang saya, memasak misalnya. Tapi apa yang orang nampak di Instagram itu hanyalah 30 peratus kehidupan saya, saya tak berkongsi semua. Saya pula ada perangai yang ada masa saya tak berenggang dengan telefon untuk media sosial, ada masanya seminggu saya tak buka, Hanya guna telefon untuk Whatsapp saja.
Saya tak rasa saya selebriti yang perlu jaga eksklusiviti, bagi saya biarlah saya dilihat eksklusif kerana hasil kerja saya. Saya masih belajar, saya masih lihat bagaimana ‘kakak-kakak’ saya mengekalkan nama di industri. Kita nak naik mudah tapi hendak mengekalkan itu yang sukar.

Dalam hidup tak semua yang kita nak kita dapat. Macam mana Mimi berhadapan dengan kegagalan atau kekecewaan?
Setiap hari saya belajar dan semestinya saya ada up and down. Saya percaya pada usia 26 tahun ini saya tahu bila ada turun, pasti akan ada naiknya semula. Janji kita usaha, fikir positif, kita jujur dengan apa yang kita buat dan Insya-Allah kita boleh redakan rasa jatuh itu dengan benda yang lebih baik.
Apa yang Mimi ingat tentang kehidupan remaja Mimi?
Saya membesar dengan bebas, tiada orang yang melarang apa yang boleh dan tidak. Saya boleh memilih arah yang saya hendak tuju tapi saya kena usaha kerana saya memang seorang yang independent. Pada usia ini saya dah lalui macam-macam. Bukanlah saya kata dah puas sebab sebagai manusia kita takkan pernah rasa puas. Mungkin boleh kata been there done that. Hidup ini akan ada naik turun sampai bila-bila. Apa yang saya tahu dari dulu saya memang seorang yang ambitious, macam hari ini arah hidup saya lain, saya hendak hidup pada fasa yang lain.
Selepas beberapa tahun di dalam bidang ini, apa bezanya karakter Mimi?
Jika dilihat pada karakter, remaja dulu saya seorang yang kasar, agak boyish. Hari ini saya lebih feminin. Mungkin saya lebih bijak jugalah (ketawa). Tapi dari dulu saya memang seorang yang suka lakukan sendiri, dan saya akan dapatkan apa yang saya nak. Saya juga seorang yang ambitious, saya akan usaha sampai kemahuan dipenuhi, dan karakter itu jugalah yang buat saya mahu belajar, belaja dan terus belajar. Hari ini saya lebih fokus dan peralihan ini datang dari pengalaman saya sendiri.
“Bila kita dah lalui dan timba bermacam-macam pengalaman kita akan belajar dan dari situ kita akan perbaiki mana yang perlu. Itu proses hidup. Kita grow!”
Jika ada masalah, siapakah jadi tempat mengadu?
My mom, apa-apa saja dia. Itu yang terbaik, sebab dia ahli keluarga, dia yang faham dan dialah yang boleh menyimpan rahsia-rahsia kita. Bila ada masalah, emak selalu cakap ‘okey je’, sebab pesannya bila kita ada masalah akan ada benda elok menyusul. Selepas hujan akan ada pelangi.
Mimi rasa kehidupan Mimi hari ini menarik, atau membosankan?
Saya bersyukur pada umur ini saya gembira dengan apa yang saya ada. Bila toleh dan lihat sekeliling, saya gembira sebab saya tak pernah rancang pun hendak ada kehidupan yang saya miliki hari ini. Tak tahu nak cakap apa selain bersyukur.
Mimi ada hobi?
Hmm (berfikir). Tengok filemlah. Tapi tiada genre tertentu. Tapi andai ditanya all time favourite, semestinya The Great Gatsby. Saya suka filem-filem yang besar, yang punya set cantik dan saya memang suka filem epik. Saya memang berangan-angan nak berlakon dalam filem sebegitu, filem Disney. Harapnya akan ada peluang untuk saya suatu hari nanti.

Mimi kata suka baca novel, biasanya genre apa menadai pilihan?
Macam-macam dan kebetulan sekarang saya sedang belajar script development dengan kawan-kawan penulis skrip dan pengarah. Antara yang saya belajar ialah bagaimana untuk kembangkan karakter, jadi banyaklah baca buku-buku sejarah. Hikmahnya PKP, ia beri ruang untuk saya belajar.
“Hendak jadi penulis skrip memang susah, bila dah sertai kelas baru saya tahu. Saya memang tiada asas. Saya tak terfikir untuk jadi penulis skrip buat masa ini, mungkin lagi 20 tahun akan datang. Saya belajar bukanlah semata mahu jadi penulis skrip tapi saya fikir ini lebih kepada ilmu tambahan untuk saya sebagai pelakon.”
Macam mana Mimi melihat dunia politik semasa negara kita?
Sejujurnya dari dulu saya bukanlah orang tahu sangat fasal politik, saya mula ambil tahu sejak PKP. Saya pun masih mentah dan nak belajar memahami tentang politik. Apa yang saya boleh cakap dunia politik kita perlu beri peluang kepada orang muda supaya idea-idea baru dapat dikongsi. Tapi secara umumnya saya harap kita dipimpin orang yang bertanggungjawab dan boleh memimpin kita kepada kebaikan.
Mimi rasa perlukah selebriti bersuara secara terbuka tentang politik?
Bergantung! Jika seseorang selebriti itu ada ilmu dan memang patut bercakap tentang politik, mengapa tidak. Jika orang yang betul dan menggunakan platform yang betul, tak ada masalah. Usahlah bila you tak pandai fasal politik tapi nak bercakap, akhirnya nanti you yang nampak tak bijak.
Adakah Mimi anggap kehadiran pendatang baru memberi persaingan?
Saya tidak lihat mereka sebagai pesaing. Saya seronok lihat mereka kerana mereka lebih bijak, passionate, kuat kerja. Dari saya jadikan mereka pesaing lebih baik saya jadikan mereka kawan supaya saya pun boleh dapat ilmu dari mereka. Saya mengalu-alukan kehadiran orang baru. Saya ada juga pengalaman berlakon dengan mereka. Saya perhatikan pada usia semuda itu mereka passionate dan lebih advance jika nak bandingkan dengan saya pada umur mereka enam tahun dulu, berbeza! Pada usia 21 tahun saya masih hua hua!
Mimi rancang atau tidak kerjaya Mimi? Atau sekadar go with the flow?
Perancangan itu ada sebab itulah saya ada pengurus kan (ketawa). Tapi itulah kita memang boleh rancang tapi tak semua jadi. Lihat saja PKP, sudah banyak hal yang tersekat. Hari ini saya lebih memilih dengan tawaran yang datang. Saya mahu lakonkan watak yang berbeza, bekerja dengan produksi yang bagus kerana itulah caranya untuk saya berkembang.
Apakah keputusan terbesar pernah Mimi buat setakat ini?
Tiada lagi yang terlalu besar sebab saya orangnya perlahan, kalau saty-satu benda itu saya rasa okey, saya teruskan tapi andai sebaliknya, saya undur saja.

Mungkin selepas ini keputusan terbesarnya ialah berkahwin?
Ha ha ha… ya lah kot!
Apa lagi impian Mimi yang Masih berbaki dalam senarai?
Saya ingin sekali berlakon di luar, dengan produksi luar. Tidak kiralah pergi untuk belajar atau bekerja. Mungkin ada pelajaran dari pengalaman itu yang boleh dibawa bila bekerja di sini.
Itu impian sebagai pelakon, bagaimana pula sebagai seorang wanita?
Saya hanya mahu jadi orang yang lebih baik, itu saja!