Lee Jung Jae bakal menjadi pelakon dengan bayaran tertinggi di Korea Selatan jika permintaan gajinya untuk Squid Game musim kedua dipersetujui.
Menurut laporan Dispatch, Lee Jung Jae meminta Netflix membayarnya sebanyak RM4.67 juta untuk setiap episod. Musim kedua Squid Game bakal menampilkan 13 episod, jadi ini bermakna dia bakal memperoleh RM60.7 juta secara keseluruhan. Dalam musim pertama, dia dibayar RM1.14 juta setiap episod dan membawa pulang lebih RM10 juta untuk sembilan episod.
Netflix dilaporkan perlu memandang serius permintaan aktor berusia 50 tahun itu. Ini kerana dia menggalas peranan penting dalam musim pertama siri itu yang memperoleh lebih RM4.2 bilion hasil penstriman. Jika permintaan ini dipersetujui, Lee Jung Jae bakal menjadi aktor K-Drama termahal menewaskan Kim Soo Hyun yang dibayar sebanyak RM1.97 juta setiap episod dalam siri One Ordinary Day (2021).