Lebih dua bulan mengumumkan perkahwinan, Mizz Nina dan suami, Essam Muhammad akhirnya melangsungkan majlis resepsi di tanah air.
Majlis mewah dan intim itu diadakan di sebuah ruang acara bertempat di Boathouse Ampang, Kuala Lumpur. Mizz Nina dan Essam bukan sahaja diraikan oleh ahli keluarga dan sahabat handai, tetapi juga kenalan rapat yang ‘terbang’ dari Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan Indonesia.
Antara rakan artis dan personaliti terkenal yang turut hadir memeriahkan majlis termasuk Lisa Surihani dan suami, Yusri Halim serta pempengaruh Aliza Kim.
Pemilik nama Shazrina Azman tampil begitu anggun dalam persalinan serba putih rekaan Ezzati Amira, pereka sama yang menghasilkan busana pernikahannya. Rias wajahnya yang semula jadi pula adalah hasil sentuhan Fazz Ariffin.
Jelas terpancar keceriaan dan kebahagiaan pada wajah pasangan merpati sejoli itu saat mereka melangkah masuk ke dewan yang dihias indah sehinggalah tamat acara.
Perkahwinan Kedua Mizz Nina
Jun lalu penceramah motivasi dan aktivis kemanusiaan itu mengejutkan peminat apabila mendedahkan telah pun bergelar isteri buat kali kedua.
Mizz Nina berkongsi khabar gembira itu di Instagram sambil memanjatkan kesyukuran atas perkahwinan keduanya, menganggap ia takdir terindah yang ditentukan Allah.
“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas rahmat indah ini. Saya ingin berkongsi kepada anda semua bahawa saya telah bergelar isteri baru-baru ini kepada suami tersayang, Essam Muhammad dalam satu majlis tertutup bersama keluarga dan rakan terdekat.
“Allah sebaik-baik perancang dan telah menulis bab kehidupan kami ini dengan begitu indah. Dengan restu ibu bapa, kami telah melengkapi separuh lagi agama satu sama lain. Kami mendedikasikan hidup kepada dakwah, berkongsi matlamat serta aspirasi yang sama, dan teruja menempuh fasa baru kehidupan ini,” tulisnya.
Mizz Nina pernah bergelar isteri kepada vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh selama 11 tahun. Bekas suami isteri itu sah bercerai talak satu pada 4 Ogos 2022 dan kini membesarkan anak angkat mereka, Musa, bersama.