Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Instagram Marsha Milan
[soliloquy id=”93174″]
Sebelum ini ketika ditanya soal berbulan madu, Marsha Milan menyatakan yang dia dan suami tidak merancang sebarang percutian berbulan madu lagi dek kerana kesibukan kerjaya masing-masing.
Marsha yang sibuk dengan penggambaran Mentor Milenia dan suaminya juga sibuk dengan kerjayanya menjadikan cuti bulan madu mereka tidak dirancang terlalu awal. Namun, baru-baru ini Marsha mengambil peluang waktu senggang daripada tugasan untuk merealisasikan percutian bersama suami.
Marsha mendapatkan berita bahawa program Mentor yang dikendalikannya terpaksa ditangguh seketika bagi memberi laluan kepada acara Anugerah Juara Lagu 30 tempoh hari dan membolehkannya untuk pergi ke Eropah berbulan madu.
Marsha dikhabarkan bersyukur selepas diberikan cuti untuk melangsungkan percutian bulan madunya bersama suami.
“Perancangan berbulan madu dibuat selepas saya diberitahu program Mentor Milenia tidak akan disiarkan minggu ini bagi memberi laluan kepada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30. Saya bercuti mulai 19 Januari lalu hingga Selasa ini. Jadi kesempatan ini saya gunakan untuk bercuti di London, Venice dan Milan. Paling istimewa, suami membawa saya menjejakkan kaki di bandar romantik, Venice buat pertama kalinya. Cukuplah sekadar mencuci mata dan melihat pemandangan. Seperkara lagi yang menyeronokkan, kami pergi ke Milan dengan menaiki kereta api dari Venice,” katanya kepada BH Online menerusi pesanan ringkas aplikasi Whatsapp.
Atas kesibukan kerjaya masing-masing, Marsha turut menyatakan yang dia ingin meluangkan masanya ini dengan sebaik mungkin bersama suami sebelum pulang kerana pastinya masanya dan suami agak terhad setibanya di Malaysia nanti.