Beberapa hari sebelum tayangan wawancara eksklusif Meghan Markle dan suami bersama Oprah Winfrey, muncul satu berita kurang enak mengenai pasangan ini.
Tular di internet mengenai satu aduan yang mendedahkan bahawa terdapat kakitangan istana yang menjadi mangsa buli Meghan sewaktu dia masih tinggal di situ tiga tahun lalu.
Nampaknya istana Buckingham memandang serius perkara ini dan akan membuat siasatan menyeluruh mengenai tuduhan ini untuk mencari kebenaran. Bagaimana pun, Duke dan Duchess of Sussex tidak akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Ternyata berita ini hanya menambah luka di hati Meghan dan dia menafikan tuduhan tersebut sekerasnya. Jurucakap pasangan ini kemudiannya memberi satu kenyataan.
“Duchess berduka cita dengan serangan terbaharu terhadap dirinya, terutama apabila dia sendiri menjadi sasaran buli dan sangat komited menyokong mereka yang mengalami kesakitan serta trauma.
“Dia bertekad untuk terus menyebarkan kasih sayang dan belas kasihan di seluruh dunia dan akan berusaha memberi contoh dalam melakukan perkara yang benar dan terbaik.”