Pengantin 26.06.26
Pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan, kini menerima menantu pertama apabila anak sulungnya, Ammar Effendy Azuar Effendy, sah bergelar suami kepada pilihan hati, Auni Ikhwan, dalam sebuah majlis pernikahan penuh bermakna yang berlangsung pada 26 Jun 2026.

Pasangan sama cantik sama padan itu dinikahkan oleh wali yang juga bapa pengantin perempuan, Ikhwan Hashim, dengan sekali lafaz, disaksikan oleh Penolong Pendaftar Nikah & Imam Masjid Damansara Perdana, Ustaz Abdus Salam Mahmud, di premis acara GlamHall Damansara sekitar jam 8.41 malam.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh intim itu dihadiri lebih 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan rapat kedua-dua mempelai. Dalam detik penuh bermakna itu, Ammar Effendy turut menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300, selain hantaran berbentuk jongkong emas yang menjadi simbol kemewahan dan kesungguhan dalam ikatan perkahwinan mereka.

Momen membatalkan air sembahyang turut mencuri perhatian apabila Auni Ikhwan menerima cincin berlian 1.8 karat sebagai tanda kasih sayang dan permulaan baharu kehidupan berumah tangga.
Di sebalik gelaran “menantu Rozita Che Wan” yang kini hangat diperkatakan, Auni Ikhwan sebenarnya mempunyai identiti tersendiri sebagai seorang profesional muda yang berpendidikan dan berdisiplin dalam kerjaya.

1. Profesional dalam bidang pemasaran serantau
Auni kini berkhidmat sebagai Senior Marketing Executive di Boost Juice Bars Malaysia sejak Februari 2024. Dalam peranannya, beliau terlibat dalam penyelarasan kempen pemasaran bersepadu merentas beberapa negara termasuk Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia. Beliau juga mengurus aset pemasaran, kolaborasi kreatif, serta pelaksanaan kempen di lebih 200 cawangan serantau.

2. Graduan Universiti Nottingham Malaysia
Auni merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi & Media dari University of Nottingham Malaysia (2018–2022). Sepanjang pengajian, beliau mendalami pelbagai bidang termasuk media digital, komunikasi politik & media serta produksi kandungan kreatif.
3. Aktif dalam sukan dan aktiviti universiti
Ketika di universiti, Auni aktif dalam aktiviti seperti squash, volleyball, dan high-intensity interval training (HIIT), selain turut terlibat dalam UNM Sports Network yang memperkukuhkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan beliau.

4. Latar belakang keluarga berpendidikan tinggi
Auni merupakan anak kepada Ikhwan Hashim, seorang jurutera di SABIC. Menurut Che Ta pada akbar Kosmo tahun 2024 ‘“Apa yang saya tahu keluarga kekasih Ammar pun baik-baik dan alim. Walaupun bekerja di luar negara, bapanya kerap pulang ke tanah air bahkan baru-baru ini Ammar ada bermain golf dengan bakal mentuanya.’

5. Sosok peribadi yang rendah profil
Menariknya, Auni tidak mempunyai akaun media sosial awam seperti Instagram atau platform lain. Sikapnya yang memilih untuk menjaga privasi menjadikan beliau semakin mencuri perhatian sebagai figura yang sederhana walaupun kini berada dalam keluarga selebriti.
Baca: Fenomena 26.06.26, 4 Selebriti & Pempengaruh Ini Pilih Hari Istimewa Untuk Bernikah
