Selepas kejayaan Beef, timbul pula satu dakwaan yang mencalarkan reputasi drama hit terbaharu Netflix itu.
Salah seorang pelakon, David Choe menerima kecaman hebat di media sosial daripada penonton siri Beef beberapa hari lalu. Ini berlaku setelah munculnya klip yang menunjukkan dia bercakap mengenai serangan seksual yang dilakukannya terhadap seorang tukang urut wanita di Los Angeles.
David Choe membuat kenyataan berani mengenai seks oral tanpa kebenaran itu pada 2014. Bagaimanapun rakaman itu hanya tular baru-baru ini di Twitter, sekali gus mengundang amarah peminat. Dia kemudiannya mengakui cerita itu hanyalah rekaannya sendiri.
Pelakon berusia 46 tahun itu menggalas watak sebagai penjenayah bernama Isaac Cho dalam siri Beef. Drama komedi gelap 10 episod itu berkisar tentang pergaduhan antara dua individu yang membawa kepada tragedi balas dendam. Ia turut dibintangi oleh Ali Wong, Steven Yeun serta Young Mazino. Karya ciptaan Lee Sung Jin itu meraih ulasan memberangsangkan dan seratus peratus skor penilaian daripada Rotten Tomatoes.