Teks : Khairul Abidin
Dari filem ke pentas Istana Budaya, semangat dan energi OlaBola The Musical kekal berkobar-kobar.
Undangan ke malam premier OlaBola The Musical disambut dengan tangan terbuka. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, persembahan teater ini antara yang dinanti-nantikan tahun ini. Menjadi persembahan sulung selepas Istana Budaya menjalani proses renovasi, OlaBola The Musical ternyata tidak menghampakan.
OlaBola The Musical adalah terjemahan daripada filem Ola Bola yang menjengah pawagam pada tahun 2016 dengan kutipan melangkaui jumlah RM16 juta. Tidak mengekalkan keseluruhan pelakon dari filem tersebut kecuali Luqman Hafidz (Ali) dan Jian Wen (Chai), OlaBola The Musical ditunjangi oleh Iedil Putra (Rahman) dan Brian Chan (Tauke) dan dibantu dengan nama-nama besar lain di pentas teater seperti Stephen Rahman-Hughes (Coach Harry Mountain), Douglas Lim (Uncle Wong), Abi Manyu (Spiderman –Muthu), Kai Chalmers (Eric) dan Melissa Ong (Mei Ling).
Pentas OlaBola The Musical dibuka dengan kelibat Rahman di atas pentas yang menjadi ‘pencetus’ kepada kembara keseluruhan teater muzikal ini. Bermula dengan kegagalan pasukan Harimau Malaya melangkah ke Sukan Olimpik 1976 Montreal, Kanada, OlaBola The Musical membawa penonton untuk sama-sama mengiringi perjalanan cita-cita Rahman yang mahu bergelar pengulas sukan profesional dan impian Tauke yang mahu membawa pasukan Malaysia ke gelanggang Sukan Olimpik 1980 Moscow, Rusia.
Biarpun ada beberapa scene yang mengundang rasa hambar pada permulaan namun ia tidak mematikan semangat penonton untuk terus menonton hingga ke akhir. Energi OlaBola The Musical dapat dirasakan berkobar-kobar pada ‘pusingan’ kedua. Kederasan tenaga yang mengalir dapat dirasakan seiring dengan semangat pasukan Harimau Malaya dalam merealisasikan impian mereka.
Kredit harus diberikan kepada Iedil Putra. Dia menggalas tanggungjawab menghidupkan watak Rahman dengan begitu cemerlang sekali. Sepanjang berada di kerusi penonton, dalam kepala asyik berfikir ‘susahnya menjadi Iedil Putra, nak hafal lirik, perlu lancar dalam melantunkan bait-bait senikata dalam ritma hip-hop dan menghafal gerak tari selain berlakon). Iedil membuatkan semuanya tampak mudah dan bersahaja. Iedil juga pandai beraksi spontan.
Begitu juga dengan Douglas Lim, biarpun tidak berperanan sebagai watak utama namun kemunculan sekali-sekala itu punya impak. Dapat dilihat beza orang mewah pengalaman dan sebaliknya. Kemunculan Altimet turut mendapat tepuk sorak. Raja Malek yang duduk di kerusi Pereka Produksi juga harus diberikan kredit. Set OlaBola The Musical memenuhi kehendak penceritaan, setanding dengan kualiti hasil kerjanya sebelum ini.
Teater yang mendapat sentuhan komposer Mia Palencia dan Altimet ini akan dipentaskan sehingga 11 Mac 2018. Harga tiket bermula dari RM50 hingga RM350. Pergilah menonton, pasti terhibur. Sekalung tahniah daripada kami di EH! buat Puan Sri Tiara Jacquelina Eu Effendi yang menjadi pengarah dan penerbit eksekutif.