Kebelakangan ini seorang demi seorang selebriti mengambil keputusan untuk berumah tangga. Selepas Neelofa, kini tiba giliran Uqasha pula untuk bergelar isteri.
Seperti yang didedahkan pasangan sama cantik sama padan ini kepada media, majlis pernikahan mereka akan berlangsung di pusat peranginan tanah tinggi terkenal tanah air.
Kamal dan Uqasha memilih untuk merahsiakan tarikh pernikahan atas sebab tertentu, namun ia dijangka berlangsung pada pertengahan tahun ini. Malah 80 peratus persiapan telah pun siap.
Menariknya, pasangan ini merancang untuk melangsungkan tiga resepsi termasuk satu majlis khas buat peminat.
“Kami akan adakan tiga majlis iaitu satu untuk keluarga dan rakan-rakan rapat, memandangkan lokasi yang kami pilih terhad untuk 350 orang sahaja.
“Untuk majlis kedua, kami akan menjemput rakan-rakan artis serta pihak media manakala untuk majlis ketiga, kami akan undang peminat untuk sama-sama meraikan hari bahagia kami,” jelas Uqasha.