Bagi NJWA menulis itu adalah satu terapi yang banyak membantunya ketika zaman remaja, menjadi penawar untuknya berhadapan dengan anxiety.
‘Powerful and soulful’ itu yang terserap ke minda saat kali pertama saya mendengar suara Najwa lewat tahun 2000-an. Kemunculannya menerusi ‘Kau Yang Punya’ berjaya menggerakkan saya untuk mencari siapa gerangan pemilik suara yang mendampingi Malique menerusi lagu itu.
NJWA bukan sahaja dikurniakan suara yang boleh membuat kita mahu mendengar dari awal hingga ke penghujung lagu malah dia juga dikurniakan bakat menulis lagu. Bukan untuk dirinya sahaja, malah nukilannya turut dilantunkan penyanyi lain termasuklah yang tersohor, Anuar Zain (Kembali).
“Saya perasan saya mula banyak menulis sewaktu di sekolah menengah. Kerana pada zaman remaja kita akan lalui macam-macam perkara, dan banyak yang mahu kita ekspresikan. Apa yang kita lalui waktu itu selalunya adalah first experience. Contohnya kali pertama jatuh cinta, kali pertama break-up, jadi saya sedar menulis itu adalah ruang untuk saya berekspresi.”
Kongsi NJWA lagi sewaktu zaman remajanya dia banyak mencuba pelbagai bentuk tulisan; menulis puisi termasuklah menulis bait rap. “Waktu remaja juga saya ada cuba-cuba menulis rap kerana saya banyak mendengar lagu-lagu hip-hop ketika itu. Tapi saya sedar saya lebih sesuai menyanyi berbanding rap.”
Menurut NJWA menulis banyak membantu dirinya berhadapan dengan anxiety. Menulis banyak membantunya zaman mudanya, sewaktu dia masih mencari dan cuba untuk mengenal diri. Menulis juga membantu saat dia berasa sedih, baginya itu adalah terapi terbaik.“Saya mencari ruang untuk meluahkan perasaan, sesuatu yang tak boleh saya tuturkan secara lisan.”
Dan apa yang dikatakan Najwa itu amatlah benar. James Pennebaker (seorang pakar psikologi) namakannya sebagai ‘expressive writing’ yang mana kita meluah apa yang terbuku di hati. Penulisan ini mengalir bagaikan air, apa yang terbenam di minda terluah secara sendiri, dan kita menulisnya tanpa memikirkan soal tatabahasa, struktur ayat sekali pun ejaan.
“Orang lihat saya sebagai seorang yang pemalu, jadi menerusi lagu sedikit sebanyak orang dapat mengenali saya. Orang mungkin boleh tahu serba sedikit cerita saya.”- NJWA
“Saya menulis lagu berdasarkan pengalaman sendiri dan juga cerita-cerita yang kawan kongsikan. Hidup ini kan macam-macam likunya.”
NJWA turut berkongsi proses dia menulis ’Alunan Lara’ untuk filem ‘Rahsia’ yang baru sahaja tamat tayangan. Baginya itu satu pengalaman yang berbeza kerana biasanya dia menulis berdasarkan pengalaman atau cerita yang dia sendiri cipta untuk lagu. Menulis runut bunyi filem banyak bermain dengan imaginasi, dan dia hanya berpandukan karakter satu-satu watak yang dihuraikan oleh pengarah.
“Secara tak langsung saya seperti berlakon kerana saya membayangkan karakter itu. Saya masukkan jiwa dalam watak yang saya bayangkan,” ujarnya.
Tonton video temubual eksklusif Daiyan Trisha bersama NJWA di bawah:
Konsep : Daiyan Trisha & Najwa Mahiaddin, Penata Gaya: Khairul Abidin, Penyelaras: Eqa Zulkifli, Fotografi: Aaron Lee (Lensworks Production), Videografi: Zakwan, Solekan: Shiyo Joo, Penata Gaya Hijab: Yaya Ibrahem, Pakaian: Kit Woo.
BACA: “Benda Paling Sukar Adalah Untuk Tak Tipu Diri Sendiri”- Naim Daniel