Filem seram terbaharu A24, “Backrooms” diinspirasikan daripada sebuah legenda urban yang tercetus daripada imej menyeramkan yang dimuat naik di internet.
Teaser pertamanya menjanjikan sebuah pengalaman ngeri yang menghidupkan mimpi buruk ciptaan internet, tetapi apakah sebenarnya “Backrooms” itu?
Apa Sebenarnya “Backrooms”?
“Backrooms” ialah sebuah labirin tanpa penghujung yang dipenuhi bilik-bilik kosong, menyerupai ruang pejabat atau stor lama. Ia diterangi cahaya lampu pendarfluor yang suram dan dihiasi warna kuning kusam dari lantai hingga ke siling.
Tiada lokasi sebenar bagi Backrooms, ia digambarkan sebagai sejenis alam purgatori yang wujud di luar ruang dan masa. Seseorang boleh memasuki tempat ini melalui fenomena dipanggil “no-clipping”, iaitu apabila seseorang secara tidak sengaja menembusi lantai atau dinding realiti, seolah-olah dunia mempunyai sudut yang glitch dan tidak stabil seperti dalam permainan video.
Sesiapa sahaja boleh terjatuh ke dalamnya dan terperangkap tanpa jalan untuk melarikan diri. Ruang tersebut tidak dihuni manusia, namun dipenuhi entiti misteri yang tidak kelihatan, membuatkan sesiapa yang terperangkap di dalamnya sentiasa berasa diperhatikan atau diekori.
Konsep Backrooms turut mengandungi elemen yang mengingatkan kepada labirin mustahil dalam mitologi Greek yang menempatkan Minotaur, selain ruang-ruang asing dan tanpa penghujung yang sering muncul dalam kisah dongeng serta cerita fantasi.
Hakikat bahawa Backrooms menyerupai lokasi moden yang kelihatan paling buatan, kosong dan tidak bernyawa juga memberi makna tersendiri kerana hampir semua orang pernah berada di tempat biasa yang terasa aneh dan menyeramkan seperti Backrooms.
Dari Mana Datangnya Backrooms?
Seperti kebanyakan meme internet popular lain, konsep Backrooms mula muncul daripada laman 4chan. Gambar asalnya diambil ketika proses pengubahsuaian sebuah kedai HobbyTown di Oshkosh, Wisconsin, sebelum dimuat naik ke sebuah blog pada tahun 2003.
Pada tahun 2011, imej tersebut mula tersebar di 4chan dan dianggap sekadar gambar yang pelik serta mengganggu perasaan.
Namun pada tahun 2019, seorang pengguna tanpa identiti di 4chan menulis deskripsi menyeramkan tentang gambar itu, tanpa disedari, dia sebenarnya telah mencipta salah satu legenda urban internet paling ikonik dan bertahan lama.
Backrooms berjaya mencetuskan sesuatu dalam imaginasi kolektif internet sebaik sahaja ia mula tular, sekali gus melahirkan komuniti peminat seram online yang bersama-sama mengembangkan kisahnya.
Komuniti awal Backrooms mula membina lore menerusi hantaran pendek berbentuk creepypasta, sebelum konsep tersebut semakin dikenali ramai. Dari situ, para penulis mula menambah lapisan cerita yang lebih kompleks, termasuk kewujudan pelbagai jenis makhluk dan entiti menyeramkan.
Namun begitu, ada peminat yang merasakan penambahan elemen-elemen baharu ini sedikit sebanyak mengurangkan impak idea asal Backrooms, kerana rasa kesunyian dan keterasingan sebenarnya merupakan elemen utama seram tersebut — walaupun konsep entiti misteri sememangnya sudah wujud sejak awal lagi.
Di internet, Backrooms kini boleh dianggap sebagai satu genre tersendiri, menjadi asas kepada pelbagai kisah seram, video YouTube, kandungan TikTok dan permainan video — terutamanya di Roblox. Pengaruhnya juga boleh dilihat dalam siri popular seperti Severance dan The Amazing Digital Circus.
Malah, fenomena Backrooms turut dipercayai menjadi inspirasi kepada trend “Liminal Spaces” serta fenomena “Mall World” di TikTok.
A24 Bawa Backrooms Ke Arus Perdana
Dengan filem terbaru terbitan A24, Backrooms kini bersedia untuk menembusi budaya pop arus perdana. Ini bukan kali pertama legenda internet dibawa ke layar perak, Slender Man misalnya pernah diadaptasi menjadi filem seram pada tahun 2018. Namun, adaptasi Backrooms oleh A24 berpotensi memberi impak yang jauh lebih besar.
Filem ini diarahkan oleh Kane Parsons, atau lebih dikenali sebagai “Kane Pixels” di YouTube.
Penglibatan Parsons cukup signifikan kerana beliau merupakan pencipta siri YouTube Backrooms yang sangat popular dan mendapat pujian ramai. Menerusi video atmosfera seram dari perspektif first-person, Parsons berjaya membantu mempopularkan konsep Backrooms kepada jutaan penonton internet.
Jika debut filem pertamanya ini berjaya, besar kemungkinan lebih banyak idea dan bakat dari dunia digital akan dibawa ke layar perak pada masa hadapan.
Baca: Rancangan Perlu Tonton Berkaitan Dunia Ais Seperti “Off Campus”
