Miley Cyrus menyeru peminat di seluruh dunia untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dengan cara yang agak unik.
Isnin lalu bintang pop ini melancarkan video muzik untuk lagu terbaharu, Angels Like You. Visual video itu dirakam di Super Bowl Sunday yang berlangsung Februari lalu, ketika Miley membuat persembahan di acara NFL TikTok Tailgate di hadapan 7,5000 kakitangan kesihatan Florida yang telah divaksin.
Video muzik tersebut diakhiri dengan mesej tulisan tangan penyanyi itu sendiri di mana dia menyeru para penonton untuk membantu mencegah penyebaran Covid-19.
“Setelah hampir setahun dunia terhenti disebabkan Covid-19, video ini dirakam pada konsert pertama yang berlangsung seadanya semenjak pandemik mengubah hidup kita.
“Penonton di sini adalah kakitangan kesihatan yang telah divaksin, mereka yang telah berjuang melawan Covid-19 tanpa rasa lelah dan gentar.
“Diharap kita semua akan dapat berkumpul kembali, dan ini boleh berlaku lebih awal daripada yang dijangka apabila lebih banyak bekalan vaksin tersedia.
“Kita semua mampu menghentikan pandemik ini dengan mendapatkan suntikan vaksin. Dengan bersatu, kita akan dapat merealisasikan persembahan muzik secara langsung sekali lagi,” tulisnya.
Miley turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan kesihatan, mengatakan dedikasi lagu tersebut tidak akan mampu menandingi jasa serta khidmat mereka.
Lebih 31 juta penduduk Amerika Syarikat telah menerima dos penuh vaksin Covid-19 setakat ini, menurut data dari Pusat Kawalan Penyakit negara itu.
Anda boleh menonton video muzik Angels Like You di bawah ini.
Foto: Diymag