Mia Ahmad kini selamat bergelar isteri kepada penjaga gol pasukan JDT iaitu Mohd Izham Tarmizi Roslan pagi tadi pada pukul 10.20 pagi.
Mia menerima mas kahwin sebanyak RM2,000 dari Izham dan tujuh dulang hantaran dan membalas sembilan dulang hantaran kepada pihak pengantin lelaki.
Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan. Majlis akad nikah Mia dan Izham berlangsung di Taiping Sentosa Villa, Perak dengan dihadiri oleh 200 orang tetamu yang majoritinya adalah ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan sahabat rapat.
Pasangan ini dinikahkan oleh Naib Kadi Masjid Nurul Islam, Aulong, Taiping, Ustaz Abdul Rashid Azidin. Mia tampil serba putih dalam busana rekaan Lynda Rahim dan disolek oleh jurusolek popular tempatan Tiar Zainal.
Sebelum ini Mia akui yang dirinya banyak kali gagal dalam perhubungan. Tetapi setelah mengenali Izham, dia berjaya memikat hatinya dan dari situ pendirian dia terhadap lelaki serta cinta berubah dek kerana kesungguhan dan keberanian Izham.
“Selama mengenalinya kira kira setahun lalu, bukan saya bersikap jual mahal, tetapi lebih kepada berwaspada. Saya tidak pasti sama ada Izham mahu serius atau sebaliknya. Pelbagai perkara bermain di fikiran. Apatah lagi usia saya pun bukan makin menurun. Kalau betul-betul dia ingin serius dengan saya, sampai ke tahap mana? Dia lebih muda daripada saya. Dalam hal ini, saya sangat realistik. Saya tidak mahu hubungan yang tidak membawa ke mana-mana dan membuang masa. Ternyata jodoh kami kuat dan saya harap ia akan menjadi yang pertama serta terakhir dalam hidup ini,” katanya kepada BH Online.
Mia turut menyatakan yang mana dirinya bakal mengikut suaminya menetap di Johor Bahru. Bukan atas dasar terpaksa atau dipaksa, pasangan ini telah pun berbincang akan hal tersebut dan Mia merasakan mengikut suaminya adalah keputusan yang terbaik.
“Memang dari awal lagi saya dan Izham sudah berbincang mengenai perkara ini. Apabila kami berkahwin, saya perlu mengikutnya menetap di Johor Bahru. Tidak timbul isu saya dipaksa atau terpaksa. Lagipun, sebagai pasangan yang baru berkahwin, lebih baik saya mengikut suami. Namun begitu, bukanlah bermakna saya tinggalkan dunia seni. Kerjaya saya di bidang ini pun baharu masuk tahun kedua. Saya akan berulang alik dari Johor ke Kuala Lumpur jika ada keperluan berbuat begitu. Cuma pada peringkat awal perkahwinan kami, saya kena fokus pada rumah tangga yang baharu dibina. Dia pun memahami,” katanya.
Majlis resepsi Mia dan Izham bakal berlangsung di Taiping Golf and Country Club, Taiping pada malam esok. Pasangan ini turut akan diraikan dalam sebuah majlis di Kuala Lumpur pada bulan Mac nanti.