Minggu lalu, Miley Cyrus dijemput menjadi tetamu di sesi temu bual bertemakan musim perayaan oleh rangkaian radio British, Heart FM.
Dalam wawancara tersebut, dia diminta bermain permainan Would You Rather dan disuruh memilih pemuzik yang dia rela cumbui, Justin Bieber atau Harry Styles. Dia bukan sahaja menjawab soalan, malah turut mendedahkan keinginannya yang mungkin selama ini sudah lama terpendam!
Tanpa ragu-ragu, Miley memilih ahli One Direction tersebut. “Harry, sudah tentu. Justin Bieber, saya mengenalinya terlalu lama, dia sudah seperti ahli keluarga. Harry Styles! Dia nampak menarik,” jelasnya sambil mengenyit mata.
Nampaknya Miley tidak tersalah membuat pilihan. Penyanyi Adore You tersebut sedang mencanak naik namanya. Dia mendapat pujian yang setara untuk muziknya juga gaya fesyennya. Malah, Miley turut mengakui hal ini.
Dia memberi komen mengenai gaya Harry, terutama fishnets yang disarungnya dalam foto yang dirakam untuk Beauty Papers. Ujar Miley, dia menyukai sarung kaki dan memahami cita rasa Harry dalam berfesyen. “Kami mempunyai minat yang sama. Saya rasa berkongsi pakaian, berkongsi hidup bersama – ia masuk akal.”
Ini kali pertama Miley membuat pengakuan mengenai Harry sejak bercerai dengan Liam Hemsworth tahun lalu. Dalam wawancara bersama Howard Stern baru-baru ini, dia mengakui masih mencintai bekas suaminya. “Kami bersama sejak berusia 16 tahun,” katanya yang mengaku jatuh cinta pandang pertama terhadap Liam ketika menjalani penggambaran klip video The Last Song pada 2010
Selepas bercerai, Miley menjalin hubungan hubungan Kaitlynn Carter dan Cody Simpson namun kedua-duanya putus di tengah jalan.
Foto: Mick Rock