Setiap tahun, Coachella bukan sekadar festival muzik, ia juga penuh dengan fesyen, selebriti dan kejutan pentas. Dari kemunculan artis hingga kolaborasi rare, semuanya jadi momen yang tak henti menjadi bualan.
Tahun ini, dua hujung minggu festival dipenuhi dengan kejutan yang tidak henti-henti, barisan artis yang bukan sahaja memberikan persembahan bertenaga, malah membawa bersama rakan kolaborasi yang mencipta momen magis di atas pentas. Ada yang tampil romantis, ada yang penuh tenaga pesta, dan tidak kurang juga yang menyentuh emosi penonton.
EH! himpunkan momen-momen terbaik Coachella yang paling mencuri perhatian
Justin Bieber
Pada hujung minggu pertama, Justin Bieber mengejutkan peminat apabila membawa naik Dijon dan Mk.Gee ke pentas. Namun, kemunculannya pada hujung minggu kedua ternyata lebih meriah dan sarat kejutan. Kali ini, dia sekali lagi bergandingan dengan Dijon, tetapi turut mengundang Big Sean dan SZA serta kemunculan istimewa Billie Eilish, yang diserikan dengan momen romantis apabila diserenad, walaupun tidak menyanyi. Tidak ketinggalan, Sexyy Red turut memeriahkan suasana dengan aura tersendiri.
Giveon
Penyanyi bersuara lunak, Giveon, memulakan persembahan hujung minggu pertamanya dengan kemunculan Kehlani sebagai tetamu istimewa. Namun, untuk persembahan kedua, dia meningkatkan lagi momentum dengan membawa dua nama besar, ikon hip-hop Snoop Dogg dan penyanyi soulful Teddy Swims yang menjadikan pentasnya lebih bertenaga dan berkelas.
Addison Rae
Pada hujung minggu pertama, Addison Rae tampil solo tanpa sebarang artis jemputan. Namun, pada persembahan kedua, dia memberikan kejutan besar apabila Olivia Rodrigo muncul sebagai tetamu istimewa. Bukan sahaja mereka berduet menerusi lagu “Headphones On”, malah turut mempersembahkan debut secara langsung untuk single terbaharu Rodrigo, “Drop Dead,” yang mencuri perhatian ramai.
Sabrina Carpenter
Bintang pop Sabrina Carpenter tidak kurang hebatnya. Pada hujung minggu pertama, dia menerima kemunculan cameo daripada pelakon tersohor Susan Sarandon dan Will Ferrell. Namun, pada hujung minggu kedua, pentasnya bertukar lebih ikonik apabila dia berkolaborasi dengan legenda pop Madonna, mempersembahkan tiga buah lagu yang mencipta momen tidak terlupakan.
PinkPantheress
Persembahan PinkPantheress pada malam Sabtu minggu kedua benar-benar bertukar menjadi sebuah pesta penuh warna. Ketika membawakan lagu “Boy’s a Liar,” dia memenuhi pentas dengan deretan artis jemputan termasuk Janelle Monáe, Zara Larsson, Chase Infiniti, Manon (yang kini sedang berehat daripada Katseye), Blood Orange, Slayyyter, Tyriq Withers serta Ninajirachi. Suasana yang dicipta benar-benar meriah, seolah-olah sebuah kelab eksklusif di tengah festival.
Katseye
Kumpulan wanita Katseye membuktikan mereka bukan sekadar pendatang baharu apabila tampil penuh bertenaga di pentas Coachella. Membawakan lagu “Golden” daripada projek “K-Pop Demon Hunters,” mereka turut disertai oleh Ejae, Audrey Nuna dan Rei Ami. Walaupun tanpa kehadiran Manon, persembahan mereka tetap memukau dengan tenaga kinetik yang memikat, malah berjaya menarik lautan peminat, digelar Eyekons yang memenuhi ruang festival hingga ke kawasan Do Lab.
Turnstile
Band Turnstile pula membawa dimensi yang berbeza ke pentas Outdoor Theatre. Berakar daripada muzik hardcore, mereka menganyam tenaga agresif dengan emosi yang mendalam, mencipta pengalaman yang bukan sahaja lantang, tetapi juga menyentuh jiwa.
Persembahan mereka dipenuhi ledakan tenaga, dari crowd surfing yang tidak putus hingga ke detik-detik puitis yang hadir tanpa diduga menjadikan set mereka antara yang paling memukau, berkesan, dan sarat emosi sepanjang festival tersebut.
Baca: Supportive Wife! Hailey Bieber Setia di Sisi Justin Bieber Semasa Coachella









