Anugerah Akademi ke-95 yang berlangsung pada 12 Mac lalu menyaksikan penampilan segak Morgan Freeman dalam sut hitam bersama sarung tangan satin rona sedondon.
Mengiringi Margot Robbie ke atas pentas di Teater Dolby, Los Angeles bagi menandakan ulang tahun ke-100 Warner Bros, Morgan bagaimanapun dilihat hanya memakai sebelah sarung tangan sekali gus mengundang tanda tanya di kalangan penonton.
Pelakon The Shawshank Redemption itu sebelum ini pernah mendedahkan kepada umum bahawa tangan kirinya lumpuh setelah terlibat dalam satu nahas jalan raya ngeri pada 2008.
Kereta yang dinaiki aktor berusia 86 tahun itu remuk setelah terbalik beberapa kali di lebuh raya Mississippi dan ia terpaksa dipotong untuk mengeluarkannya dari situ. Dia kemudiannya diterbangkan ke hospital menaiki helikopter.