Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Oschalet.blogspot.com
Perginya seorang lagi pelawak dan pelakon veteran, Mohd. Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr.Os hari ini meninggal dunia kira-kira jam 2.50 petang tadi.
Allahyarham Mr.Os menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang akibat kanser paru-paru. Menurut laporan mStar Online, anak kepada Allahyarham, Mohd Hafizul menyatakan yang bapanya itu sudah sakit teruk sejak Isnin lalu dan dirawat di Hospital Selayang.
Allahyarham mengadu sesak nafas dan mula lemah, terus dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Ayah sakit teruk sejak Isnin lalu dan di rawat di Hospital Selayang, namun ketika itu dia masih boleh bercakap sehinggalah pagi tadi. Pagi tadi dia kelihatan betul-betul lemah dan hanya boleh angguk dan geleng sahaja. Dia nampak tenat beberapa minggu ini dan lemah kerana kanser paru-paru yang dihadapinya itu. Sebelum meninggal banyak pesanan yang diberikan kepada kami adik-beradik terutamanya berkenaan agama,” katanya kepada mStar Online.
Mr.Os mula berlakon menerusi sebuah filem yang berjudul Balik Kampung pada tahun 1986. Allahyarham sangat terkenal melalui filem Adik yang mana Mr.Os membawa watak pemuda Autisme.
EH! mengucapkan salam takziah buat ahli keluarga Allahyarham Mr.Os dan semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.