Teks : Anis Hanini
Diambil dari isu November 2017
Figura terkenal ini memulakan karyanya dalam bidang seni sebagai seorang pelawak namun dia mula menonjolkan sisi yang lebih serius bermulanya penglibatan diri di sebalik tabir.
Menurut Nabil, jika dia dapat meninggalkan tanda dalam industri, dia mahu dikenali sebagai seorang yang punyai idea bernas.
Tambah Nabil, “saya memulakan karier sebagai seorang pelawak dan sekarang orang kenal saya sebagai seorang pelakon. Saya juga miliki syarikat produksi sendiri untuk membuat penulisan skrip dan sebagainya. Mungkin suatu hari nanti saya ingin menjadi menjadi seperti Abang Aflin Shauki atau Mamat Khalid. Saya mahu menjadi seorang pengarah yang bagus dan orang dapat lihat bahawa karya saya berbeza dan punyai maksud sendiri. Namun di Malaysia, ia sesuatu yang agak sukar untuk dilakukan. Sama ada anda punyai wang yang banyak untuk lakukan filem sebagai eksperimen ataupun idea anda terpaksa dibataskan kerana anda ingin jual filem tersebut.”
Saya sempat bertanya kepada Nabil tentang dunia komedi. “Adakah Nabil rasa sedih untuk ucapkan selamat tinggal kepada dunia ini?”
“Dunia komedi ada di mana-mana sahaja, dan apa sahaja yang saya lakukan, it’s always going to be about comic,” jelas Nabil dengan tenang.
“Bagi Nabil siapakah Nabil yang sebenarnya,” tanya saya lagi.
“Nabil di televisyen dan Nabil di hidup sebenar jauh berbeza. Di luar, saya lebih pentingkan keluarga, isteri dan anak-anak saya. Dan ramai orang pernah berkata bahawa in real life saya seorang yang serius. Mungkin mereka lupa bahawa I’m not funny all the time, I’m living a normal life too. Siapa-siapa sahaja yang anda nampak di televisyen, pabila mereka jumpa di luar, anda harus hormat masa mereka. Jangan anggap hanya kerana kami kelakar di dalam televisyen, anda boleh bergurau sakat dengan kami terutamanya pabila kami bersama keluarga. Ini tidak bermakna saya tidak akan berhenti dan bergambar dengan peminat. Ya, saya lakukan semua itu apatah lagi jika saya perasan ada yang mula asyik memandang namun tidak menegur saya. Saya orang kampung dan bukan orang snobbish. Jika anda tegur dengan cara yang baik, ia tidak menjadi masalah bagi saya,” ujar Nabil sebagai mengakhiri bicara.