Hakikatnya, gambar bercium mulut antara Nabil dan isterinya, Nazirah Ayud yang tersebar di laman sosial baru-baru ini bukanlah dikongsi oleh dirinya.
Gambar intim pasangan ini dikatakan dimuat naik oleh jurugambar mereka ketika berada di Venice, Itali. Namun, gambar tersebut kemudiannya telah disebarkan oleh individu lain.
Nabil menjelaskan yang mana dia tidak pernah memuat naik gambar itu.
“Bukan saya, tetapi jurugambar yang merakam gambar kami yang meletakkannya di Instagram beliau. “Tetapi, orang lain pula yang menyebarkan gambar itu. Jadi, ia bukan salah saya,” ujar Nabil kepada BH Online.
Akuinya lagi, dia sendiri tidak akan sekali berkongsi gambar seperti itu kerana takut dicemuh dan mendapat pandangan negatif dari masyarakat serta peminat-peminatnya.
Gambar tersebut telah pun mendapat perhatian ramai dan rata-rata menganggap yang pengacara rancangan MeleTOP ini tidak langsung menjaga sensitiviti masyarakat tempatan.
Ada juga yang mempersoalkan status Nabil yang sudah bergelar Haji tetapi masih tidak dapat membezakan yang baik dan buruk kala berkongsi perkembangan terbaru di media sosial.
Bagi Nabil, dia sendiri tidak tahu untuk membuat maklum balas yang bagaimana kerana dia tidak mahu mempedulikan apa yang orang kata kerana bukan dirinya yang berkongsi gambar tersebut.
“Apabila sudah berada di ‘kota cinta’, jadi pastinya ada detik manis di antara saya dengan isteri. Kebetulan pula jurugambar yang berada bersama kami merakam momen berkenaan. Mungkin dia berasakan ia romantik, lalu memuatnaik foto itu di Instagram,” terang Nabil.