Berang dengan perangai orang yang suka tidak menjawab panggilan telefon atau mesej, NADDI tampil dengan lagu baru yang berbaur sindiran bertajuk Pick Up The Phone (PUTP) gandingan Bersama rapper tempatan bernama SXPH yang bakal keluar pada 14 Feb 2023 ini.
NADDI (dahulunya dikenali sebagai Nadhira) merupakan seorang penyanyi dan penulis lagu R&B, Pop dan Hip-Hop yang pernah memenangi anugerah dan pelbagai pengiktirafan dalam dan luar negara. Beliau telah mewarnai industri muzik Malaysia dengan lagu Inggeris yang menduduki carta teratas dan memenangi anugerah selama lebih sedekad, membawa nama Malaysia ke London, Perancis, Kanada, Australia, Singapura, Indonesia, Filipina dan banyak lagi.
Beliau telah menghabiskan separuh hayatnya menetap di luar negara seperti London, Brunei, dan Jakarta. Kini, gadis antarabangsa ini telah kembali ke akar umbinya dan telah menjenamakan semula identitinya kepada NADDI dengan muzik yang diberi nafas baharu dan lebih memfokuskan kepada bahasa ibundanya, Bahasa Melayu. NADDI juga turut menyuntik dialek Negeri Sembilan di dalam lagunya bagi memberi penghargaan kepada asal usul keluarganya.
Sejak penjenamaan semulanya, NADDI telah mengeluarkan 2 buah lagu dan lagu Pick Up The Phone (PUTP) merupakan lagu ketiga dibawah penjenamaan barunya. Ini merupakan kolaborasi kedua beliau bersama SXPH, yang juga merupakan salah satu rapper “otai” di Malaysia yang sudah banyak berkolaborasi bersama nama-nama besar seperti Altimet, Aman RA, Forceparkbois, DJ Fuzz, Mizz Nina dan ramai lagi.
Mesej utama di sebalik lagu ini pada dasarnya mengatakan “berhenti membuang masa orang lain dan berhenti bermain dengan hati dan perasaan orang”. Lagu ini diilhamkan dari pengalaman sebenar NADDI yang pernah “disidai” oleh orang yang tidak bertanggungjawab dan suka tidak menjawab panggilan telefon. Perasaan itu amat menjengkelkan apabila ianya berlaku, terutamanya jika panggilan telefon dan mesej itu adalah penting dan kritikal.
“Perkara ini kini sudah menjadi sebagai wabak yang berjangkit dengan semua orang walaupon teknologi telefon makin canggih tetapi ianya membuatkan manusia lebih malas untuk berkomunikasi secara professional” kata NADDI.
PUTP sengaja dicipta dengan lirik yang memerli dan digandingkan dengan melodi yang menyeronokkan serta bertempo rancak supaya pendengar dapat mengaitkan perasaan yg sama. Lagu ini digubah oleh HM dari Statenine yang telah banyak membuat lagu untuk artis-artis terkenal tanahair seperti Shamsul Yusof, TUJU, LOCA B, Zahid AF dan ramai lagi.
Bercakap mengenai disebalik pembikinan muzik video PUTP, NADDI berkata ini merupakan antara projek yang dia amat seronok melakukannya kerana konsep muzik video ini sangat dipenuhi dengan warna-warna ceria tetapi karakter yang NADDI mainkan didalamnya agak sedikit gila dan psikotik untuk menyampaikan mesej lagu lagu itu. Muzik video ini hasil arahan dan suntingan Akmal Bahruddin dari Cross Hundred. Ini merupakan kolaborasi kedua NADDI bersama team produksi ini yang sebelunya telah membuat muzik video NADDI untuk lagu yang bertajuk NADDI Kek Mano.
Dengarkan lagu Pick Up The Phone (PUTP) oleh NADDI dan SXPH di semua platform digital dan tontoni muzik videonya di saluran Youtube NADDI pada 14 Feb 2023.
Artikel berkaitan: Kisah Realiti Penuh Emosi Dalam Lagu Liesl-mae