Lama tidak mendengar khabar berita perhubungan Neelofa dan pendakwah bebas, Haris Ismail sejak kontroversi yang melanda hampir sebulan lalu.
Selepas pelbagai tuduhan tersebar di media sosial, pasangan ini memilih untuk mendiamkan diri setelah Neelofa memberi satu kenyataan panjang lebar di IGTV miliknya pada 27 Disember 2020.
Sehingga ke hari ini, status pertunangan pasangan sama cantik sama padan itu masih menjadi tanda tanya di kalangan peminat.
Namun dua hari lalu, Neelofa kembali mendapat perhatian apabila dilihat menyarungkan sebentuk cincin yang kelihatan seperti cincin merisik pemberian Haris.
Dalam video yang dimuat naik di Instagram Story, dia dilihat sedang mempromosikan peniagaannya, Markaz Tijari yang merupakan hasil usahasama dengan Haris di mana cincin tersebut terletak elok di jari manisnya.
Ia kelihatan lebih jelas sewaktu dia mempromosikan produk pakaian terbaharu milik ibunya, Datin Noor Kartini.
Namun tidak dapat dipastikan sama ada ia benar-benar cincin pemberian Haris atau salah satu daripada koleksi peribadinya.
Sebelum ini, media melaporkan Neelofa tidak lagi mengenakan cincin merisik ketika perhubungannya dengan Haris dikatakan sedang dilanda badai.
Sehingga ke saat ini, kedua-duanya masih belum membuka mulut bagi menjelaskan status terkini perhubungan mereka.
Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 2 November tahun lalu.
Foto: Neelofa/Instagram