Selepas sekian lama menyepi daripada sebarang aktiviti berkumpulan, NewJeans akhirnya mencuri perhatian peminat apabila tampil dengan siri foto dan video baharu bersempena ulang tahun keempat sejak debut mereka.
Kemunculan istimewa itu bukan sahaja mencetuskan keterujaan dalam kalangan Bunnies, malah turut menguatkan spekulasi bahawa kumpulan sensasi K-pop tersebut bakal membuat kemunculan semula dalam masa terdekat.
Menerusi satu kenyataan rasmi, pasukan komunikasi global HYBE mengesahkan bahawa NewJeans telah menghasilkan sebuah siri filem pendek khas bagi meraikan ulang tahun debut mereka. Kandungan eksklusif itu menampilkan empat ahli iaitu Minji, Hanni, Haerin dan Hyein, sekali gus menjadi content rasmi pertama yang memperlihatkan mereka bersama selepas hampir dua tahun sejak pelancaran album terakhir, Supernatural pada Jun 2024.
Menurut ADOR, siri istimewa itu dihasilkan berdasarkan hasrat para anggota sendiri yang ingin meraikan ulang tahun mereka bersama peminat.
“Siri filem khas ini diwujudkan daripada keinginan ahli-ahli untuk menyambut ulang tahun keempat bersama peminat. Kami berharap Bunnies akan menerima karya ini sebagai hadiah yang penuh makna.”
Sarat Dengan Simbolik Buat Bunnies
Mengusung tema 2026 Summer of NewJeans, setiap foto dan video yang dimuat naik dipenuhi elemen nostalgia yang cukup dekat dengan identiti kumpulan itu. Antara simbol yang mencuri perhatian ialah patung arnab, origami, ilustrasi berbentuk arnab serta risalah promosi sebuah gerai aiskrim fiksyen dikenali sebagai The Bunnies Scoop.
Menariknya, risalah tersebut mempromosikan perisa baharu dengan slogan Tastes Like Summer! pada harga AS$7.22, dipercayai sebagai rujukan kepada tarikh debut NewJeans pada 22 Julai 2022, ketika mereka mengejutkan industri muzik menerusi lagu pertama, Attention.
Dalam video solo Hyein pula, penyanyi termuda kumpulan itu dilihat melukis simbol berbentuk “U”, iaitu ikon yang sinonim dengan light stick rasmi NewJeans. Siri tersebut diakhiri dengan sebuah filem mini berdurasi 59 saat yang memaparkan keempat-empat ahli kembali berkumpul sebelum perhatian mereka teralih kepada seekor arnab putih besar di tengah padang, sekali lagi mengukuhkan simbolik hubungan mereka dengan Bunnies.

Isyarat Comeback Semakin Kuat
Walaupun HYBE dan ADOR masih belum mengumumkan sebarang tarikh rasmi mengenai album atau single baharu, kandungan yang diterbitkan sempena ulang tahun keempat ini dilihat sebagai petunjuk paling jelas bahawa NewJeans sedang bersiap sedia untuk kembali aktif. Sekiranya benar, ia bakal menjadi karya muzik pertama mereka selepas lebih dua tahun sejak Supernatural dilancarkan pada 21 Jun 2024.
Perjalanan Yang Tidak Mudah
Sepanjang tempoh rehat mereka, NewJeans turut melalui episod yang mencabar apabila terlibat dalam pertikaian undang-undang bersama HYBE mengenai kontrak eksklusif. Mahkamah Korea Selatan sebelum ini memutuskan bahawa kontrak para anggota masih sah. Susulan keputusan itu, Hanni, Haerin dan Hyein kembali bersama ADOR, manakala pihak syarikat mengumumkan penamatan kontrak ahli asal, Danielle.
Bagi Minji, sebelum ini timbul laporan bahawa beliau sedang berbincang untuk kembali menyertai ADOR. Walaupun tiada pengesahan rasmi diberikan, kemunculannya dalam siri video dan foto terbaharu ini menguatkan lagi spekulasi mengenai penyertaannya semula dalam aktiviti kumpulan.
Peminat Tidak Sabar Menantikan Babak Baharu
Walaupun masih banyak persoalan yang belum terjawab, kemunculan empat anggota NewJeans menerusi projek khas ini sudah cukup untuk menghidupkan semula keterujaan peminat di seluruh dunia. Kini, Bunnies hanya menanti masa sebelum NewJeans mengumumkan langkah seterusnya. Sama ada single baharu, album mahupun projek khas, satu perkara pasti “2026 Summer of NewJeans” nampaknya bakal menjadi permulaan kepada lembaran baharu buat kumpulan yang pernah mencipta fenomena global ini.

Artikel Berkaitan: Siapa Nah Kai? Model Kacak dalam Muzik Video Baharu JENNIE
