Noh Salleh Bertunang Secara Rahsia
Tiada angin tiada ribut, peminat dikejutkan dengan berita pertunangan vokalis kumpulan Hujan yang tular di media sosial pada Mei lalu.
Noh Salleh dan Fatin Athira dilaporkan bertunang dalam majlis tertutup di kediaman wanita itu di Putra Heights Subang Jaya pada 6 Mei. Pada majlis yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan terdekat itu, kedua-duanya tampil menggayakan persalinan serba hitam.
Menurut laporan Kosmo, ahli keluarga pemuzik itu datang dari Kuching, Sarawak membawa rombongan meminang sekali gus menghadiri rumah terbuka anjuran keluarga Fatin Athirah.
“Kami dimaklumkan tuan rumah mengadakan majlis pertunangan anaknya, sekali dengan rumah terbuka Syawal yang dihadiri keluarga dan kenalan terdekat. Ketika tiba di kediaman mereka sekitar pukul 3 petang, majlis pertunangan sudah selesai tetapi Noh serta keluarganya masih berada di sana,” jelas sumber terdekat.
Fatin Athira merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor dan kini bekerja sebagai peguam. Dia dikatakan mempunyai minat dalam bidang muzik selain boleh menyanyi dan bermain gitar.
Baca: “2+1=3”, Mizz Nina & Noh Salleh Sambut Kehadiran Orang Baru