Oleh : Farhana Fuad
Gambar: Instagram Nora Danish
Selebriti popular tanah air, Nora Danish sebelum ini menyatakan yang mungkin dia dan Nedim Nazri bakal berkahwin tahun ini.
Nora turut berkata yang dia mahukan sebuah majlis yang cukup sederhana dan tidak membazir untuk perkahwinan kali ini. Cukup dengan hanya sebuah majlis pernikahan.
“Daripada berhabis untuk hantaran dan belanja kahwin tinggi, ada baiknya wang itu disimpan dan digunakan apabila kami melayari hidup berumah tangga nanti. Sudah tentu wang banyak yang perlu dibelanjakan dalam jangka masa panjang. Ada baiknya duit yang ada itu kami laburkan. Tambah pula selepas berkahwin, pastinya saya dan Nedim mahu menimang cahaya mata lagi. Membesarkan anak-anak zaman sekarang belanjanya agak tinggi. Pada waktu sama, wang yang ada boleh kami gunakan untuk memulakan perniagaan bersama,” kata Nora kepada Harian Metro.
Ibu kepada Putera Rayqal ini juga mengatakan yang dirinya ada keinginan mahu menimang cahaya mata lagi selepas berkahwin nanti bersama bakal suaminya itu. Nora sangat menghargai akan kesungguhan Nedim yang mahukan perkahwinan mereka berlangsung tahun ini juga.
Nora dan Nedim masing-masing pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini. Namun, mereka tidak langsung takut untuk berkahwin lagi. Bagi pasangan ini, mereka ingin sama-sama membina keluarga baru dan mendidik anak-anak dengan penuh bahagia.
EH! ucapkan tahniah atas berita baik ini dan semoga urusan menuju hari bahagia Nora dan Nedim berjalan dengan lancar dan dipermudahkan segala urusan.