Setelah lima bulan berkahwin, kini Nora Danish sudah pun berbadan dua. Spekulasi yang dibuat netizen itu disahkan sendiri oleh bintang popular itu.
Nora Danish dan suami, Nedim Nazri akui teruja dengan berita kehamilannya itu. Bahkan, Nora menyatakan yang mana ia masih di peringkat awal dan disebabkan usianya sekarang, macam-macam boleh terjadi. Jadi, aktres jelita ini terpaksa akur dengan nasihat doktor untuk memperlahakan kerjaya seninya buat sementara.
“Saya gembira dengan berita ini, …suami lagilah bertambah teruja. Cuma pada peringkat awal dan atas nasihat doktor, saya tidak boleh terburu-buru. Pada usia saya sekarang, apa saja boleh terjadi. Saya kena lebih berhati-hati dan atas nasihat doktor serta suami, kerja seni terpaksa diperlahankan. Tumpuan saya sekarang lebih kepada menjaga kandungan dalam perut ini,” katanya kepada BH Online.
Spekulasi netizen mula tersebar di laman sosial pabila melihat tubuh Nora yang kelihatan seakan sedikit berisi dan menampakkan tanda baby bump menerusi sekeping gambar yang dikongsinya ketika menghadiri majlis pernikahan teman baiknya dari Indonesia, Laudya Cynthia Bella dan Engku Emran Engku Zainal Abidin.
Nora mengaku yang dirinya dan suami merasakan keterujaan yang berbeza meskipun sebelum ini masing-masing pernah menimang cahaya mata, namun disebabkan ini merupakan lambang cinta mereka, ia dirasakan lebih gembira.
“Nampaknya impian Rayqal hendak ada adik akhirnya dipermudahkan. Sebelum ini pun, dialah yang begitu mahu saya berikan adik,” tambah Nora.
Nora telah dikurniakan dengan seorang anak menerusi perkahwinannya sebelum ini yang bernama Putra Rayqal Rizal Ashram.