Nama bintang pentas ini terlalu sinonim di kalangan peminat dunia seni tanah air seawall usia pembabitannya di dalam bidang seni. Tipulah jika ada peminat muzik Melayu tidak mengenali Fauziah Latif. Resumenya dibarisi lagu malar segar lebih-lebih lagi lagu balada. ‘Teratai Layu Di Tasik madu, “Dia’, ‘Setia Ku Korbankan’, ‘Enggan’, “Gubahan Rindu Puisi Syahdu’ antara yang terus segar di halwa telinga. Biar berdekad masa berlalu, Fauziah Latiff terus diminati dan utuh di liga seni.
Di hari penggambaran, dia yang mesra membahasakan dirinya sebagai kak Gee tiba ke studio sendirian. Sebaik melabuhkan punggung ke kerusi solek, saya tanyakan jika dia mahu sebarang minuman atau kudapan. “Apa-apa pun Kak Gee okay,” balasnya. Dia sangat ringkas orangnya, ke studio sekadar membawa satu bagasi hitam dan bersandal sahaja. Tutur bicaranya sangat lembut, penuh santun dan sesekali dia bergurau mahu membawa pulang aksesori Bvlgari yang dibawakan khas untuk penggambaran ini. Satu hal yang saya kagum dengan wanita berusia 51 tahun ini, dia terbuka mencuba apa sahaja gaya yang kami suakan. Minta baring atau meniarap sekalipun dia cuba sebaiknya demi sekeping foto terbaik. Kami mahu tampilkan Fauziah Latiff yang dikenali dulu, seorang penyanyi lincah di sebalik vokal gemersiknya. Ikuti temubual istimewa EH! bersama Siti Fauziah binti Sheikh Abdul Latiff
Hari ini, pada usia yang baru mencecah 51 tahun, apakah perasaan atau current state of mind Kak Gee?
Cukup bersyukur, Alhamdulillah dan berterima kasih dengan apa yang Kak Gee ada pada usia ini. Kak Gee percaya apa sahaja yang akan berlaku di hari mendatang, kita harus hadapi dengan rasa percaya dan punya harapan. Apa-apa yang terjadi kebelakangan ini dan jika dihimpunkan semua ia adalah refleksi kepada kehidupan kita, sekaligus membuat kita lebih menghargai kehidupan. Kita lebih membuka mata, jiwa dan minda. Mengharapkan hari esok yang lebih baik dan kita akan belajar lebih lagi.
Bagaimana kehidupan Kak Gee hari ini?
Sama seperti orang lain, semestinya kita kena bekerja, mencari nafkah. Masih menyusun dan mengatur kerjaya seni, dan dalam masa yang mahu juga mengusahakan apa yang boleh kita berikan kepada masyarakat. Ada juga tugas dengan komuniti selam scuba atau diving, dan kak Gee juga ada bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu. Persembahan seperti biasa, tidak sebanyak dulu, tapi kita pilih yang sesuai.

Apa yang membuatkan Kak Gee mahu menjadi penyanyi, dan sehingga ke hari ini masih utuh dengan profesion yang sama?
Menyanyi ini bukan menyanyi semata. Saya namakan ini sebagai satu cabang seni. Bidang ini menawarkan banyak ilmu, banyak yang kita boleh belajar, peluangnya bagus, banyak pengajaran. Ia tentang kehidupan, ia membuka ruang untuk kita melihat semuanya. Dari segi kerja mahupun sebagai manusia. Kita dibukakan dengan macam-macam peluang dan saya anggap ia satu kurniaan dari Allah dan kita harus hargai peluang-peluang ini.
Apakah pelajaran paling besar yang Kak Gee ambil atau pelajari sepanjang menjadi penyanyi, yang membentuk siapa Fauziah Latiff hari ini?
Manusia. Ia semuanya tentang orang-orang yang kita jumpa. Dalam meniti kehidupan kita ditemukan dengan bermacam-macam jenis orang,baik dari yang berpangkat hinggalah orang biasa. Peluang bergaul dengan orang berbeza latar adalah satu peluang yang sangat bernilai kerana dari situ kita akan belajar, kita akan reflek tentang diri kita juga secara tidak langsung. Orang-orang ini yang akan membentuk bagaimana kita membawa diri.
Apa yang boleh disimpulkan tentang perjalanan seni Kak Gee sehingga ke hari ini?
Ia satu perjalanan yang indah tetapi tidak datang dengan mudah, obviously. Kak Gee menghargai semuanya, dan tiada kekesalan langsung menjadi seorang anak seni. Pada awal melibatkan diri sebagai penyanyi arwah ayah dah berpesan, “jika dah langkah masuk ke bidang ini, no turning back”. Apa yang dia maksudkan ialah kita mesti bertanggungjawab. Bidang seni bukan satu bidang yang main-main. Ia bukan soal glamor, ini adalah ruang untuk mencari rezeki.
Banyak yang kita belajar dari hari pertama, sehingga ke hari ini pun Kak Gee masih belajar. Pembelajaran ini mengikut fasa. Fasa satu kita belajar bermacam-macam, kita perhatikan orang dan bila sampai satu peringkat pula kita cuba perbaiki diri berdasarkan pengalaman diri dan kita usah putus asa. Kemudian sampai tahap seterusnya kita akan tahu apa yang kita hendak. Lagi satu kita perlu ada minat, tidak kira apa yang yang kita lakukan, minat itu adalah satu hal yang mustahak.

Pada pandangan Kak Gee, apa yang perlu ada untuk menjadi seorang artis yang bagus?
Respect. Kita mesti tahu menghormati diri kita sendiri, itu yang utama. Sama juga kita mesti hormat kepada keluarga, no matter what. Kita mesti hormat orang-orang yang bekerja dengan kita, baik yang sudah berpengalaman mahupun yang baru. Kita juga mesti bersifat terbuka dan ada usaha mahu belajar.
Dalam banyak-banyak persembahan yang pernah dilakukan, yang mana satu yang segar dalam ingatan?
Macam mana nak pilih, terlalu banyak. Tapi kalau diminta pilih satu Kak Gee pilih Pesta Kingsway 1988, waktu itu Kak Gee menjadi juara. Bukan sebab menang tapi kerana dari persembahan itu kak Gee belajar tentang erti kerjasama pasukan atau teamwork. Kemenangan itu bukan hak Kak Gee seorang, ia milik penari, pemuzik, orang yang membuat lagu dan sesiapa saja yang terlibat.
Dari situ juga kita sedar tiada benda yang datang dengan mudah. Teamwork sangat penting, dan ya yang orang nampak kita tapi di bahu kita itu kita membawa harapan ramai orang, dan ia satu tanggungjawab. Kadang-kadang kita berasa lemah, tapi bila kita tiada pilihan kita akan lakukannya juga. We gotta do it. Kekuatan dan harapan orang-orang di belakang kita sedikit-sebanyak menyuntik semangat untuk kita berikan yang terbaik. Bila kita buat persembahan dan melihat audien tersenyum dari situ kita dapat energy.
Terlalu banyak lagu hita Kak Gee, mustahil untuk dibariskan dan diceritkan satu persatu. Tetapi andai perlu dipilih, yang mana satu yang dekat di hati?
‘Aku Sebutir Pasir’. Lagu ini bercerita tentang kehidupan dan juga satu peringatan tentang tanggungjawab dan siapa diri kita di dunia ini. Kita ini sebenarnya kecil sahaja, hanya sebesar butir pasir. Kadang-kadang kita terlepas. ‘Kenari’ dan ‘Cinta’ juga jadi kesukaan peribadi.

Kak Gee sangat sinonim dengan Allahyarhan Datuk Adnan Abu Hassan. Boleh kongsi sedikit pengalaman bekerja dengan arwah?
Semuanya manis-manis belaka, dari awal sampailah kali terakhir dia menulis lagu buat Kak Gee. Abang Dee seorang yang fun, bila kita bekerja, kita kerja betul-betul. Dia adalah bos, jadi waktu bekerja kita memang serius dan fokus. Kita menghormati dan tahu peranan masing-masing. Dia memang banyak menyokong kerjaya Kak Gee. Dia sendiri memang sudah ada signature tersendiri. Bila di studio Kak gee cuba fahamkan apa yang dia mahu sampaikan hingga dia puas hati. Selepas beberapa album dia mula let go untuk Kak Gee bereksperimen dan explore cara nyanyian Kak Gee sendiri, mana yang dia suka dia teruskan. Tapi sebagai seorang penyanyi yang menganggap dia sebagai guru, Kak Gee masih mahu dibimbing dan ditegur, berkongsi cara nyanyian yang dia mahu. Dia adalah salah seorang sifu kak Gee, sama seperti Roy Sta Maria, produser album pertama Kak Gee dan juga Manan Ngah.
Banyak memori indah dengannya. Ada masa bila di studio kita akan gelak bersama. Dulu kita selalu juga lepak di studio Happy Records di Singapura, dan bila ada rakaman Abang Sham, Amran Omar pun akan datang sama. We had great moment.
Di mata Kak Gee, apakah kekuatan lagu-lagu arwah Abang Dee?
Dia ada keunikan dan stail yang tersendiri. Bila kita dengar lagu, walaupun belum tahu siapa penyanyinya kita tahu itu karya dia. Dia ada cop dia sendiri.
Pesanan Abang Dee yang Kak Gee ingat sampai ke hari ini?
Never give up, keep on singing.
Kak Gee dikenali dengan lagu-lagu cinta yang orang kata tangkap syahdu. Mudahkan memasukkan emosi ke dalam lagu? Kerana tidak semua penyanyi punya kebolehan itu.
Macam mana nak cakap ya, kalau nak cakap senang, orang kata Kak Gee perasan pula (ketawa). Apa saja jenis lagu yang kita bawa mestilah datang dari hati. Kita mesti menjiwainya.

Kak Gee masih ingat tidak bilakah kali pertama Kak Gee mendengar lagu Kak Gee di radio?
Sebagai penyanyi, ya radio sangat besar peranannya. Hari ini kita ada platform untuk streaming, zaman berubah, ada banyak teknologi baru, ia lebih memudahkan dan kita boleh dengar banyak lagu, baik lama mahupun baru. Personally, I do miss zaman dulu-dulu yang mana kita beli dan kumpul CD atau kaset. Kalau tak silap, Kak Gee dengar ‘Kau Merubah Segalanya’ buat pertama kali di radio sewaktu kak Gee di rumah. Khoo Chong Teng, penyanyi Cina di Happy Records hubungi arwah ayah Kak Gee beritahu lagu kak Gee di radio. Kak Gee rasa malu bila dengar tapi dalam masa yang sama seronok. Kami dengar anak-beranak dan waktu itu juga mula sedar more to come. Ada banyak kerja dan tanggung jawab lebih besar menanti.
Kak Gee dulu-dulu memang terkenal dengan showmanship yang menarik, lengkap dengan koreografi. Boleh ceritakan persiapan bila membuat persembahan, siapa yang memberi idea, atau siapa juga menjadi inspirasi?
Pada permulaan memang ada rujukan, tipulah kalau kata tak ada. Dulu-dulu Kak Gee banyak menonton persembahan artis Hong Kong. Khoo Chong Teng selalu belikan kak Gee VHS konsert seperti Anita Mui. Dia juga banyak beri input untuk persembahan Kak Gee. Artis Hong Kong di era itu sangat hebat, baik showmanship, koreografi dan juga kostum. Beberapa tahun selepas itu baru kita lihat Janet Jackson dan Madonna. Dari segi feel pula Kak Gee banyak rujuk kepada gaya Bette Midler dan Whitney Houston. Jika penyanyi kita pula, dulu Kak Gee suka Francisca Peter.
Bagaimana Kak Gee kekal fit? Menjaga kulit, awet muda?
Kita tak boleh expect yang kita akan muda selamanya. Pasti ada kedut sana sini, benda itu normal. I like it and I embrace it. Senaman sangat penting kerana usia memang megejar kita. Kita bukan muda lagi. Bukan sahaja kesihatan fizikal, emosi dan mental juga perlu diambil kira. Kadang-kadang emmang ada rasa malas, malasnya nak bersenam, malasnya nak diet tapi itu sekadar alasan. Sama ada kita buat atau kita malas.
“Lagi satu apa-apa kita buat kita mesti ‘bawa’ otak kita bersama. Belajar bukan sekadar dari buku sahaja, banyak lagi cara untuk kita belajar.”
Bila kita menyelam, kita bukan sekadar selam masuk air sahaja, kita mesti buka minda kita untuk belajar tentang hidupan marin, pemuliharaan laut dn macam-macam lagi. Kita yang perlu educate diri kita sendiri.
Bagaimana Kak Gee melihat perkembangan industri muzik Malaysia hari ini?
Kind of sad actually. Ya, kita punya ramai penyanyi yang bagus-bagus, yang boleh menyanyi. Saya bercakap tentang new comers ya, I do miss good performer. Penyanyi yang Kak Gee suka tengok Liza Hanim, arwah Siti Sarah, Jaclyn Victor dan Misha Omar, ini antara penyanyi bagus yang kita ada. Aina Abdul dan Vanessa antara pelapis yang bagus. They need to work harder kerana untuk mengekalkan nama itu bukan mudah. Saingan hari semakin sengit.
Pernah menjadi juri Malaysian Idol, sebenarnya mudah atau tidak untuk menilai dan mengkritik bakat orang lain?
Mudah dan tidak mudah. Ia bergantung kepada situasi. Apa jenis pertandingan itu, sama ada ia disertai penyanyi baharu yang sudah ada album atau yang masih mentah. Untuk Kak Gee sewaktu di Malaysian Idol, kak Gee menilai dari segi persembahan juga pembawaan diri seseorang di atas pentas.
Tapi mudahkah menyusun kata-kata kerana orang kita agak sensitif bila ditegur?
Tengok situasi. Jika kita lihat dulu pada sebelum 90-an, orang lebih terbuka, sangat strict. Masuk ke tahun 90-an orang dah mula berhati-hati bila hendak bercakap. Hari ini kita dah pusing balik ke era 80-an, yang pada Kak Gee ada bagusnya untuk membuat kita sedartak ada yang datang dengan mudah. Jika nak jadi penyanyi, buat betul-betul.
“Kadang-kadang kita ni sudah terlalu dimanjakan sampaikan tak boleh ditegur. Ada yang bila kita kritik, mereka ada rasa “I’m better than you”. Berbalik semula soal respect yang Kak Gee cakap awal-awal tadi. Adab dan hormat mesti ada.”

Kak Gee agak berahsia tentang kehidupan peribadi, tidak terlalu banyak dikongsi, jika yang tahu sekadar asas sahaja. Berbeza dengan selebriti hari ini yang ratanya lebih terbuka berkongsi, adanya media sosial membuatkan ramai yang senang berkongsi kehidupan peribadi. Apa pendapat Kak Gee?
Ada baik dan buruknya untuk masa sekarang dan juga mendatang. Seperti kak Gee cakap, dalam kehidupan kita belajar dengan melihat orang. Kak Gee tak boleh kata apa yang patut buat apa yang tidak. Apa-apa yang kita kongsi mesti ada baik buruknya. Berpada-pada, usah sampai membahayakan diri. Usah tunjuk apa yang kita ada, jangan merisikokan diri. Setiap orang tahu apa yang patut mereka buat. Sebagai manusia kita belajar dari pengalaman. Jika buat silap, kita perbaiki. Esok kita akan buat silap lagi tapi usahlah diulang kesalahan yang sama. Tak mengapa jika kita ambil masa untuk belajar. Jika itu prosesnya.
Harapan atau perancangan Kak Gee pada tahun 2022?
Hendak cakap fasal harapan, susah sebenarnya. Kita pun tak tahu apa bakal jadi esok. Apa yang penting buat amsa sekarang adalah untuk melindungi diri dan keluarga. Setahun dua yang ;tergendala’, inilah masanya untuk kita bina dan atur semula. Jika dari segi perancangan kerjaya, insyaAllah akan ada lagu baru. Projek ini sudah lama tertunda, harapnya dapat diteruskan. Ross Ariffin juga dah lama tunggu untuk sudahkan rakaman lagu baru.