Penangan lakonan hebat watak Mia yang dilakonkan oleh Siti Saleha, drama rantaian 7 Hari Mencintaiku berserta novelnya habis dijual.
Drama tersebut berlatar belakangkan kisah Mia dan Khuzairi (Shukri Yahaya). Novel tersebut telah laris dijual sehingga 100,000 naskhah. Menurut pengarah drama tersebut, Jamal Khan, ramai yang tidak sabar untuk menantikan episod seterusnya.
Jamal turut menyatakan yang mana dia tertarik untuk mengadaptasi novel tersebut kerana penceritaannya yang tidak terikat hanya pada satu plot, sebaliknya ditambah dengan pelbagai konflik di dalam drama tersebut.
Drama tersebut menjadi lebih kuat pabila dilakonkan oleh pelakon hebat termasuklah Siti Saleha dan Shukri Yahaya.
“Drama rantaian ini turut dibantu oleh pelakon hebat, menjadikan penonton semakin tidak sabar menantikan episod seterusnya. Faktor itu turut menyumbang kepada kepada jumlah jualan novel. Biarpun sebelum ini saya pernah mengarahkan drama adaptasi novel, kali ini ia agak berbeza apabila setiap kali klip adegan dimuat naik di laman sosial, pasti ia menjadi viral,” katanya kepada BH Online.
Akui Jamal, dia pada mulanya tidak merasa terkesan tetapi mula gusar pabila proses suntingan kerana ingin mencapai cita rasa penonton. Selepas minggu pertama, dia mula rasa tertekan. Ini membuktikan yang mana bukan senang untuk menjadikan drama tersebut satu karya yang cantik dan menarik perhatian ramai.
“Saya menjadi tertekan selepas minggu pertama. Sewaktu itu saya masih melakukan proses suntingan, terutama ketika saat genting iaitu Mia menagih cinta Khuzairi dalam tempoh tujuh hari. Banyak babak menarik yang ingin saya muatkan, namun perlu mengikut masa yang ditetapkan,” jelasnya.
Drama yang menjadi fenomena sekarang ini telah pun sampai ke episod terakhir pada malam semalam. Tidak takut jika ada yang mempersoal pengakhiran drama tersebut, bagi pengarah drama ini dia sudah lakukan yang terbaik dan memilih apa yang wajib dipertontonkan pada umum.
Saleha selaku watak utama drama tersebut turut mengucapkan terima kasih kepada peminatnya menerusi laman Instagram kerana setia menonton drama 7 Hari Mencintaiku lakonannya itu.
Pada masa yang sama, pelakon kanak-kanak yang berusia 10 tahun, Muhammad Ariff sebagai watak Buntat turut menjadi perhatian ramai pabila lakonannya yang sehingga beberapa episod sahaja membuatkan ramai penonton cukup terkesan.