Pentas MTV VMA 2023 menyaksikan penyatuan semula NSYNC yang dianggotai oleh Justin Timberlake, Chris Kirkpatrick, JC Chasez, Lance Bass dan Joey Fatone.
NSYNC hadir ke majlis anugerah itu bagi menyampaikan trofi Best Pop yang berjaya dimenangi Taylor Swift. Kemunculan mereka mengundang keterujaan di kalangan penonton termasuk pelantun lagu Anti-Hero itu sendiri. Kali terakhir mereka muncul di pentas MTV VMA adalah pada 2013.
Kini, kumpulan popular 90-an itu membuat satu lagi kejutan dengan mengumumkan pelancaran lagu terbaharu selepas 23 tahun. Diberi judul Better Place, ia bakal menemui peminat tidak lama lagi iaitu pada 29 September.
Baru-baru ini Justin Timberlake memuat naik sebuah video di Instagram yang menunjukkan kelima-lima penyanyi sedang merakam lagu bersama di studio.
Tulisnya di ruangan kapsyen, “When the stars align…got my brothers back together in the studio to work on something fun and the energy was special. Better Place is coming 9/29 LOVE Y’ALL.”
Buah Tangan Terbaharu NSYNC
Better Place merupakan runut bunyi filem Trolls Band Together yang bakal ditayangkan di pawagam pada 17 November. Dalam filem tersebut, Justin meminjamkan suara untuk watak Branch, yang membuka jalan kepada penyatuan semula NSYNC.
Trolls Band Together merupakan filem ketiga dalam francais animasi kegemaran ramai itu. Can’t Stop The Feeling, lagu yang ditulis Justin untuk filem pertama debut di tangga teratas dalam carta Billboard Hot 100. Menerusinya, dia berjaya menggondol anugerah Grammy.
Filem kedua, Trolls World Tour 2020 pula menampilkan lebih banyak lagu ciptaan Justin. Ini termasuk kolaborasinya dengan Anderson .Paak berjudul Don’t Slack dan lagu duet bersama SZA, The Other Side.
Baca: Blackpink Lancar Lagu & Video Muzik The Girls Untuk ‘The Game’