Naskah terbaharu Christopher Nolan, Oppenheimer yang ditayangkan di layar perak pada 21 Julai lalu mencatat satu rekod membanggakan.
Oppenheimer kini menjadi filem biopik yang meraih kutipan tertinggi dalam sejarah, mengatasi rekod filem muzikal Bohemian Rhapsody. Filem tahun 2018 itu berkisar tentang kehidupan pemuzik ikonik, Freddie Mercury bersama kumpulan legenda Queen.
Dengan bajet serendah RM258 juta, Bohemian Rhapsody mencatat kutipan sebanyak RM4.267 bilion. Oppenheimer pula menelan belanja hampir dua kali ganda, RM469 juta dan meraih kutipan RM4.276 bilion.
Sebelum Bohemian Rhapsody, rekod ini dipegang oleh filem American Sniper yang berkisar tentang penembak tentera bernama Chris Kyle lakonan Bradley Cooper. Filem tahun 2014 ini berjaya mengutip sebanyak RM2.56 bilion.
Ini diikuti dengan The King’s Speech (RM2.27 bilion), The Greatest Showman (RM2.04 bilion) dan The Wolf of Wall Street (RM1.90 bilion).
Di Sebalik Filem Biopik Oppenheimer
Filem ini berkisar tentang J Robert Oppenheimer, ahli fizik teori selaku pengarah Manhattan Project yang berpangkalan di Los Alamos, New Mexico.
Manhattan Project merupakan kumpulan penyelidikan rahsia yang ditugas untuk membangun seterusnya bereksperiman dengan senjata pemusnah terbesar pertama dunia. Tujuan pembangunan senjata ini adalah untuk menamatkan Perang Dunia Kedua.
Cillian Murphy diberi tanggungjawab menggalas watak utama di samping beberapa lagi nama besar dalam industri. Ini termasuk Robert Downey Jr, Emily Blunt, Florence Pugh, Matt Damon, Kenneth Branagh, Jason Clarke, Josh Harnett, Dylan Arnold, Benny Safdie, James D’Arcy, Tony Goldwyn, Olivia Thirlby dan Quaid.
Pemenang terbesar dalam ‘persaingan’ ini adalah Rami Malek yang membintangi kedua-dua filem. Dia menggalas peranan kecil sebagai ahli fizik nuklear David L Hill dalam Oppenheimer.
Manakala dalam Bohemian Rhapsody, dia memainkan watak utama Freddie Mercury dengan amat berkesan sehingga berjaya menggondol trofi Anugerah Akademi pertamanya sebagai Aktor Terbaik.
Baca: Berapa Bayaran Yang Diterima Cillian Murphy & Pelakon Utama Oppenheimer?