Nama Aina Abdul terus menjadi jawapan kepada persoalan siapakah antara penyanyi berkualiti generasi kini . Tiap kali ada pertandingan atau majlis anugerah, namanya tidak pernah tercicir dalam senarai pemenang. Impak penglibatannya dalam lapangan muzik tanah air dimaksimumkan semampunya.
Saya masih ingat lagi, sebaik Aina Abdul berjaya ke Anugerah Juara Lagu menerusi Sumpah, saya terus meminta Penulis Fesyen EH! waktu itu, Muzammin menghubungi Aina untuk satu fotografi. Saya rasa waktu itu EH! Adalah majalah fesyen pertama yang merakam wajah Aina. Pelbagai headpiece dari Bremen Wong kami pakaikan untuknya waktu itu. Dan hari ini selepas beberapa tahun mengenali dan sesekali bekerja dengan Aina, barulah saya dapat berbual panjang dan mendasari jiwanya.
Apa itu muzik bagi Aina?
Bagi Aina muzik itu satu kanvas polos yang diperhias dengan banyak nota-nota dan tugas Aina sebagai penulis lagu adalah untuk mewarnakan kanvas itu dengan melodi, rhythm dan in my case, saya juga menulis lirik.
Bagaimana Aina mendefinisi muzik yang bagus?
Muzik yang bagus itu adalah yang mampu menggerakkan emosi, yang membuat sesiapa yang mendengar tersentuh, berjaya menembusi perasaan. Kita tak kenal siapa yang mendengar muzik kita, mostly adalah strangers, dan mereka juga tak mengenali orang yang menulis atau melagukan satu-satu lagu secara peribadi. Dan jika ia mampu menembusi kehidupan mereka itu sudah dikira satu muzik yang bagus.
Apa yang boleh Aina katakan tentang selera muzik orang kita?
Selepas beberapa tahun berada di dalam industri muzik, saya akhirnya boleh simpulkan pendengar kita lebih cenderung dengan lagu ‘jiwang’. Majoritinya gemarkan lagu-lagu bertemakan cinta. Dan cinta itu boleh ditulis dari pelbagai sudut, cinta yang bahagia, cinta yang mengharap.
Kebanyakan pendengar muzik di Malaysia hari ini, setuju atau tidak, kita suka melayan perasaan sedih. Kebanyakan lagu yang evergreen, yang masih mendapat tempat di karaoke, yang boleh kita nyanyi bersama adalah lagu yang bermesejkan kesedihan.
Melihatkan situasi begini, adakah ini formula Aina dalam menghasilkan lagu-lagu Aina agar ia malar segar?
Sebenarnya serba sedikit inspirasi muzik saya datang dari era 90-an dan awal 2000-an kerana secara peribadinya saya berpendapat itu adalah kemuncak industri muzik di Malaysia. Di era itu munculnya ramai nama besar, baik penyanyi mahupun komposer, nama-nama yang amat kita banggakan. Itulah inspirasi dan bagaimana minda saya berkarya.
Saya cuba bawakan air lagu seperti komposer terkenal seperti Allahyarham Adnan Abu Hassan, Azlan Abu hassan, Ajai dan juga Helen Yap, yang mana nama-nama ini punya balada yang timeless. Pendatang di zaman Aina beranggapan genre itulah yang seiring dengan selera kami dan saya berharap lagu saya akan jadi malar segar seperti karya mereka.
Selain keluarga, siapa individu yang setia percaya kepada kebolehan dan bakat Aina?
Keluarga semestinya adalah pendorong nombor satu, ibu dan arwah ayah selalu push Aina. Selain itu orang yang selalu melayan permintaan dan my crazy visual ialah pengurus saya. Mungkin kerana kita dah kenal lama, sejak lepas sekolah. Sewaktu awal-awal Aina menjejakkan dalam bidang muzik, pada waktu itu lagu-lagu easy listening seperti Najwa Latif, Nanasheme, Aina Tasnim lebih mendapat perhatian. Saya tak rasa itu salah sesiapa. Waktu itu muzik yang saya bawakan tak relevan. Saya tak marah kerana good things perlukan masa. Saya ambil waktu untuk break the barrier and circle.
Pengurus saya adalah orang yang selalu say yes pada idea-idea saya. Sebelum saya keluarkan ballad Melayu saya lancarkan lagu Inggeris, tapi dia percaya dan kata you go for it, you do you, you buatlah stail you. Sehingga ke hari ini dia akan selalu kata you know the best walaupun dia ada idea dia juga.
Dalam kerjaya ini selain peminat sebagai tulang belakang seseorang penyanyi, tetapi yang underrated sebenarnya adalah team yang betul, dikelilingi dengan orang yang betul. Orang-orang ini tak semestinya akan bagi you pelangi sepanjang masa, they brutally honest dengan you. Orang yang tak kisah penat, tak berkira masa dan yang akan meletakkan kita sebagai hal pertama dalam kerja. Dan melalui pengurus saya ini, saya diperkenalkan dengan orang-orang yang betul.
Saya melihat Aina sebagai seorang risk taker, yang berani buat hal yang lari dari kebiasaan. Malah, belum muncul dengan album penuh, Aina berani melancarkan konsert di Axiata. Adakah sememangnya Aina sebegitu sejak dulu?
Saya mula menyanyi sejak sekolah dan saya sebenarnya adalah seorang pengikut, not excatly trendsetter. Saya dulu mengikut saja formula yang seharusnya. Cuma satu hal tentang diri saya ni, saya suka belajar benda baru. Saya selalu crave cabaran dan kelaian. Saya juga seorang yang cepat bosan dan itu saya kira sebagai satu kelemahan saya.
Saya selalu ada rasa “oh thats it? Itu je?”. Dan hal ini jugalah yang mungkin develop saya menjadi seorang yang suka mengambil risiko. Saya belajar dan cuba mengaplikasi formula yang saya lihat pada Datuk Sri Siti Nurhaliza dan kak Ziana Zain. Saya mengkaji lagu dan lihat bagaimana mereka menyanyi. Kadang-kadang apa yang kita belajar itu tak sesuai dengan kita. Dalam lima tahun kebelakangan ini barulah saya temui siapa Aina Abdul itu.
Penampilan ekstravaganza Aina Abdul itu adalah satu kebetulan atau ia adalah sesuatu yang dirancang sebagai satu imej?
Sebenarnya minat kepada fesyen-fesyen yang ekstravaganza ini memang sudah ada dari kecil. Saya sukakan persembahan yang melibatkan fesyen. Walaupun saya anggap diri saya introvert, yang tak loud dari segi percakapan tapi saya memang sukakan sesuatu yang bold, kreatif dan di luar kotak.
Tapi saya sekadar suka dan tak pernah terfikir in million years ia akan menjadi satu identiti. Saya diperkenalkan dengan orang yang boleh klik dengan apa yang saya suka, baik stylist mahupun designers. Kelahiran identiti Aina Abdul itu adalah satu alter ego dalam diri yang tidak dikupas sebelum ini. Kita mungkin ada idea tapi yang penting adalah bertemu dengan orang yang akan say yes, pasukan kerja yang mampu merealisasikannya.
Adakah itu juga satu cara untuk Aina boost keyakinan diri bila di pentas?
Itu juga satu hal yang saya mulai sedar sewaktu saya persembahkan Sumpah di AJL. Waktu itu saya sedar ia adalah satu perfect escape untuk diri saya. Bila kita brainstorm untuk AJL waktu itu kita memang mahu gabungkan elemen muzik, fesyen dan emosi dalam satu pentas. Bila saya memilih untuk memakai baju berdarah, saya rasa itulah momennya.
Lagi satu sudah banyak tahun saya cari formula dan kelainan dalam diri. Saya pernah satu masa sudah penat apabila orang tanya apa kelainan saya, apa berbezanya saya dengan yang lain. Waktu itu orang kenal saya sebagai Aina Mentor saja. Saya penat sampaikan saya tanya diri saya sendiri, do i really need to be different untuk berada di dalam industri? Dan cara nyanyian saya pun saya rasa agak sama dengan orang lain waktu itu.
Suatu ketika dulu kita ada Allahyarham Sudirman, kemudian Noorkumalasari dan Fauziah Latiff. Mereka bertiga ini antara penyanyi yang membuat persembahan dalam skala penuh. Jadi bila malam AJL itu saya dah jumpa arah tuju sebenar Aina Abdul walaupun saya sendiri masih berteka-teki sama ada orang akan faham atau adakah orang akan hargai.
Sejujurnya saya masih tidak ada jawapan itu sampai sekarang kerana saya tahu ada yang suka, ada yang sebaliknya. Tapi, saya teruskan kerana saya seronok dan satu great escape untuk diri saya.
Aina dibawah telunjuk Ella sewaktu di Mentor Legend. Apakah nasihat kak El yang Aina pegang sampai ke hari ini?
Ada banyak yang Kak Ella, dan even Kak jojie kongsi dengan Aina. Bila kita berlatih, kita lepak-lepak makan ada saja advice yang mereka share. Saya tak ingat ayatnya bagaimana tapi konteks yang dia ada cakap ialah tentang kelainan, dia tahu Aina berbeza. Waktu itu saya rasa sama sahaja, orang suruh nyanyi tinggi, saya nyanyi tinggi.
Hari ini saya sedar being different itu diperlukan dalam industri. Itu jugalah yang saya lihat pada dia. Dia berbeza, tiada Rock Queen yang lain. Dia selalu cakap be unique and don’t hide yourself.
Saya seorang yang suka menyendiri, a girl who always sit at the corner. Dia boleh baca diri saya, malah cara saya menyanyi pun dia boleh tahu apa yang saya rasa. Dia selalu pesan untuk saya keluarkan semua, let it out.
Di Mentor, Aina diadili dan hari ini Aina sendiri diundang untuk duduk di kerusi juri, mengadili persembahan orang lain. Apa sebenarnya yang Aina cari bila menjuri?
Setiap kali menjuri saya dah faham apa keinginan saya. Saya selalu mencari kejujuran dalam nyanyian. Saya mencari peserta yang punya cara tersendiri dalam bercerita menerusi lagu. Perkara pertama of course mestilah sedap. Sedap itu nombor satu. Kedua perlu ada kejujuran dalam penyampaian. Kadang-kadang ada penyanyi boleh manipulasi persembahan dengan skil tapi rasanya mungkin kurang. Susah nak cari peserta yang boleh menghubungkan kedua-duanya.
Adakah itu juga formula Aina pada setiap persembahan?
Saya cubalah dan tidaklah selalu saya mampu untuk nail it. Saya kena reset niat saya, perlu dibetulkan. The moment I nak show off, saya rasa itu dah salah. Saya memegang formula itu untuk persembahan, saya perlu vulnarable dengan diri saya. Bila buat persembahan saya cuba untuk all out menerusi visual persembahan saya. Itu adalah value added, saya sukakan full scale performance.
Bila ada platform yang tepat, saya keluarkan tenaga itu. Saya lakukannya kerana seni. Bagi saya ia satu kepuasan bila kita dapat persembahkan intepretasi kita menerusi visual di atas pentas, pakaian, bukan dari nyanyian semata. Selagi saya diberi ilham, selagi itulah saya akan buat.
Adakah ini juga satu usaha Aina untuk mendidik penonton?
Masih ada banyak kerusi yang perlu diisi, seramai mana pun orang faham atau hargai, saya fikir masih banyak lagi yang tak faham. Apa yang saya lakukan ini adalah satu didikan, benda yang bagus perlu dibimbing. Dulu-dulu tak semua orang faham Sudirman, tapi hari ini dia tinggalkan legasi yang tiada siapa boleh ambil tempat itu.
Hari ini juga, jika kita tengok YouTube, ramai orang mentafsir dan mengupas persembahan dan seni lagu. Makin ramai orang terbuka untuk bercakap tentang karya dan menghargainya. Saya percaya seni di Malaysia akan ada level tersendiri.
Bila melakukan persembahan berskala penuh, ia memerlukan belanja yang besar. Adakah itu juga yang Aina mahu terapkan dalam industri, agar penyanyi akan datang rela melabur wang untuk satu persembahan?
Benda yang bagus bukan sahaja perlukan masa, perlukan duit juga. Itu jugalah yang saya belajar beberapa tahun kebelakangan ini sejak saya menjadi ‘Aina Abdul’. Aina rasa puas. Bila tengok balik persembahan dan evaluate sendiri persembahan kita, kita seronok. Bila dah berbelanja, kita juga perlu save up. Saya tak berbelanja benda-benda mahal untuk diri sendiri. Jika ada 10 benda luxury, saya mungkin beli dua sahaja. Itu pun yang saya rasa kena dengan stail peribadi saya.
Namun begitu hal persembahan ini terpulang pada masing-masing. Tak ada yang betul, tak ada yang salah. Hari ini saya terbaca beberapa komen yang mengatakan kita tak perlu overdo untuk menang pertandingan. Bagi saya kenyataan itu mencabar diri saya, kerana bagi saya satu-satu persembahan itu bergantung pada kemampuan lagu itu sendiri.
Ada lagu tak perlu sesuatu yang ekstra, then go for it. Jika ada penyanyi yang melakukan sesuatu yang berlebihan bagi saya itu satu bonus pada yang menonton. End of the day itu adalah sebahagian daripada hiburan.
Usia Aina sudah mencecah 30 tahun, adakah apa yang Aina hajatkan untuk capai sebelum usia ini sudah terealisasi?
Saya sebenarnya tidak meletakkan deadline mengikut usia. Saya meletakkanya pada satu-satu jangka masa, misalnya dalam lima tahun saya mesti buat atau capai itu ini. Tapi kalau ditanya pada usia, saya rasa apa yang Allah tulis untuk saya sudah cukup sempurna. Pada usia 30 saya akhirnya mengeluarkan album.
Walaupun ada yang berpendapat album sudah tak relevan tapi bagi saya itu satu kepuasan saya sebagai seorang komposer. Sekurang-kurangnya saya dapat lihat lagu-lagu saya diletakkan dalam satu album. Langkah seterusnya adalah untuk memikirkan apa yang perlu saya buat untuk album ini.
Apakah keputusan terbaik yang Aina buat sepanjang usia 30 tahun ini?
Ini mungkin agak klise tapi bila saya fikir balik basically berkait dengan apa yang saya pakai. I’m glad saya memilih untuk memakai baju darah itu. Pada itu menjadi perdebatan sama ada mahu teruskan idea itu atau kirta rasa tak perlu push ourselves sejauh itu. Adakah kita perlu berkolaborasi dengan special effect atau sekadar menyanyi tegak sahaja.
I’m glad yang orang sekeliling saya yakinkan saya untuk pilih memakai baju darah. Waktu itu juga ada perdebatan sama ada kaca atau darah. At that time saya memihak kepada baju darah kerana bagi saya ia lebih dekat dengan momen saya menulis Sumpah. Ketika itu saya berada at lowest point of my life, saya bertarung dengan mental saya. Jadi saya rasa darah adalah simbol paling dekat itu saya gambarkan kepada penonton.
Saya menonton semula ‘Devil Wears Prada’ dan saya tertarik dengan satu line. Konteksnya lebih kurang begini, untuk tahu kita sudah berjaya atau tidak, adalah pada ketika kita sedar kita sudah kurang masa atau hilang kawan-kawan. Aina setuju?
Hmmm … (diam seketika). Saya rasa saya setuju 100 percent, kerana jika Bidin tanya Aina bila kali terakhir Aina jumpa kawan-kawan Aina, Aina sendiri dah tak ingat. It’s been years tak jumpa. It’s a sad thing sebenarnya kerana life is about having a good friend, kawan-kawan yang boleh kita mengadu bila ada masalah.
ini adalah laluan yang saya pilih tapi bukan Aina kata Aina lupa kawan-kawan Aina. Apabila tiba masanya I will meet you. Ketika ini kawan-kawan Aina ialah pengurus, makeup artist, orang-orang yang bekerja dengan saya.
Aina seorang introvert dan semestinya Aina sentiasa mencari ruang sendiri. Bagaimana Aina mengisi masa-masa yang terhad ini?
Saya melepet je kat rumah (ketawa). Saya homely type person jadi duduk di rumah dengan menonton movie adalah ruang untuk saya healing. Saya sukakan filem yang rare, European movie. Kesukaan saya ialah filem dari Perancis. Saya sukakan estatiknya.
Malah ini juga satu passion yang saya figure out. Saya mahu mengarah something satu hari nanti, mungkin short film. Saya tak tahu sangat tentang teknikal tapi saya titik beratkan apa yang saya nampak. I know exactly what I want.
Bagaimana dengan video muzik? Adakah Aina ada memberi idea atau terlibat dalam proses suntingan?
Saya memang control freak sedikit. Saya sedang dalam proses belajar dan nak faham prosesnya. Biasanya bila ada video muzik kita akan berbincang, kita cuba copy mana-mana yang kita suka dan yang bersesuaian dengan bajet kita. Bila proses suntingan, saya akan duduk sama-sama. Jika dinilai pada video yang saya dah kelaurkan, saya belum gali sepenuhnya. Saya belum dapat lagi ultimate version yang saya mahukan. Tak sabar untuk shoot lebih banyak lagi dan lihat apa yang saya boleh capai.
Apakah tiga perkara yang selalu buat Aina feel good?
Pertama bila dapat duduk di atas sofa di rumah dan menonton TV. Setip kali habis kerja itulah momen yang paling menyeronokan. Itu adalah my real happiness. Kedua, bila saya scroll movie dan saya pilih sebab tertarik dengan cover art dan filem itu sendiri bagus.
Ketiga, bila saya ada masa untuk memasak my comfort food, sambal sardin. Bila digabungkan ketiga-tiga ini, makan sambal sardin sambil duduk di atas sofa sambil menonton movie. Perfect combo!
Adakah Aina mudah adapt dengan perubahan? Kerana bagi saya transisi Aina yang kurang dikenali dengan Aina Abdul selepas Sumpah di AJL sangat mendadak.
Saya tak pernah terfikir hal ini. Bila Bidin tanya barulah Aina terfikir sama ada saya selesa atau expect of it. Saya selalu anggap diri saya sama saja. Dan itu juga bagus untuk saya, I’m happier that way. Dan mungkin juga kerana orang di sekeliling saya adalah orang yang sama, dan bukan orang yang suka memuji-muji saya. Untuk kebaikan mental, sangat penting untuk saya rasa sama sahaja.
Okey soalan terakhir, sejauh mana berbezanya Aina sebagai seorang kawan, anak dan mungkin someone special kepada seseorang?
Sangat berbeza (tergelak). Aina Abdul dan Nurul Aina adalah dua individu berbeza. Secara amnya Aina Abdul a dalah seorang yang mementingkan kesempurnaan, control freak. Aina Abdul juga seorang yang kemas, mahu semuanya tersedia. Dia mahu apa yang dia minta akan ada.
Nurul Aina pula berbeza. Sebagai kawan dia seorang yang tak banyak cakap tapi lebih banyak ketawa. Dia akan sentiasa ketawa sahaja. Sebagai Anak pula, Nurul Aina seorang yang kuat menyakat. Itu adalah karakter yang saya tak boleh masukkan dalam Aina Abdul kerana Aina Abdul terlalu serius orangnya. Kadang-kadang saya sendiri tired of her… hahaha!
Dalam kelaurga saya selalu melawak dan my hidden talent ialah mengajuk orang lain. Dalam kelaurga juga saya adalah seorang follower, yang tak akan decide apa-apa. Saya akan ikut saja, makan apa, makan di mana.
Aina Abdul as a lover, seorang yang needy, mahukan perhatian dan always crave for attention. Dia juga seorang yang kuat cemburu, dia Scorpio kan. Kena selalu entertain her needs and requirement. You should already know what she wants. Dan dia mahukan benda-benda simple sahaja. Contoh jika dia kata hari ni dia nak makan aiskrim, that person dah tahu saya nak makan aiskrim apa.
Okey, hari ini saya interviu Aina Abdul atau Nurul Aina?
Hmm.. Aina Abdul kot sebab kalau Nurul Aina, dia tak tahu nak jawab soalan (ketawa).
Arahan Seni, penata Gaya & Interviu: Khairul Abidin, Penyelaras Kandungan Digital: Farah Ain & Erdina, Fotografi: Edmund Lee, Videografi: Simon Tan & Zakwan, Solekan: Sahir Sabri, Penata Gaya Hijab: Farhana, Busana: Alia Bastamam, Ashraff Zainal & H&M Studio.
BACA: “Kehidupan Dan Karier Saya Bukan Competition,”- Ernie Zakri