Bekas ahli kumpulan 2NE1, Park Bom, mengejutkan peminat apabila memuat naik hantaran di media sosial yang mendakwa beliau telah memfailkan saman terhadap penerbit eksekutif YG Entertainment, Yang Hyun-suk.
Pada Rabu lalu, Park Bom memuat naik hantaran bertajuk “From Park Bom”, beserta foto yang kelihatan seperti dokumen aduan saman bertulis tangan. Dalam dokumen itu, beliau mendakwa Yang Hyun-suk telah melakukan penipuan (fraud) dan penggelapan (embezzlement).
Park menulis bahawa beliau tidak pernah menerima bayaran sewajarnya untuk segala aktiviti sepanjang kariernya, termasuk jualan muzik, konsert, siaran TV, iklan, acara, penulisan lirik serta komposisi lagu.
“Defendan tidak membayar keuntungan hasil semua aktiviti saya dengan betul,” tulisnya, sambil menambah bahawa beliau tidak pernah menerima penyata kewangan atau sebarang pembayaran.

Jumlah tidak masuk akal!
Apa yang lebih mengundang tanda tanya ialah jumlah ganti rugi yang disebut sekitar 4.5 kuadrilion won (jumlah yang amat besar dan tidak munasabah). Malah, beliau turut mendedahkan nombor telefon peribadinya dalam hantaran tersebut.
Dakwaan itu segera mencetuskan kekeliruan dan spekulasi. Ramai peminat serta netizen mempersoalkan kesahihan dan niat sebenar di sebalik tindakan Park. Agensinya sendiri mengakui mengetahui tentang dakwaan itu hanya selepas hantaran tersebut tular, dan kini sedang “menyemak fakta sebenar”.

Tidak lama kemudian, Park memadam hantaran itu namun memuat naik semula pada Khamis dengan mesej baharu:
“Park Bom benci YG. Kepada semua pengguna internet, tolong selidik betul-betul apa yang YG lakukan kepada Park Bom. Terima kasih.”
Beliau turut berkongsi gambar anjing peliharaannya yang dioles gincu, dengan kapsyen pelik, “Park Bom. Thanks for the lipstick.”
Agensinya kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa semua urusan pembayaran melibatkan aktiviti 2NE1 telah diselesaikan dan tiada saman difailkan secara rasmi, menzahirkan kekeliruan terhadap perilaku artis itu.

Kebimbangan terhadap kesihatan
Park Bom sebelum ini telah menghentikan semua aktiviti pada Ogos lalu disebabkan masalah kesihatan, dan pernah mencetuskan perhatian dengan hantaran media sosial yang dianggap ganjil termasuk mendakwa beliau mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon Lee Min-ho.
Insiden terbaru ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan mental dan fizikal penyanyi itu, yang sebelum ini terkenal dengan vokalnya dalam kumpulan 2NE1.
Para peminat kini hanya berharap agar Park mendapat bantuan dan rehat yang diperlukan untuk pulih, sementara pihak YG Entertainment terus menyiasat situasi sebenar di sebalik dakwaan mengejutkan ini.
Baca: 7 Penyanyi Asia Ini Pernah Membuat Kemunculan Di Pentas Coachella
